Tujuh lagi trak pikap unibodi selain Ford Maverick 2022

oleh Mohamad Hanif|
Rekaan badan atas rangka (body-on-frame) merupakan salah satu daripada binaan asas yang tertua dan masih lagi membentuk dunia automotif pada hari ini.

Malah kereta-kereta pertama di dalam dunia dibina atas kerangka ladder frame, di mana badan dibina asing daripada casis dan kemudian dicantumkan sebelum keluar dari kilang.

Disebabkan itu, kebanyakan kenderaan yang menggunakan rangka ladder frame seperti trak pikap jauh lebih tahan lasak untuk pemanduan off-road, serta keupayaan untuk menunda muatan yang jauh lebih berat berbanding kereta biasa.

Namun, struktur binaan kerangka ini mempunyai kelemahan yang tersendiri, salah satunya adalah pengendalian yang kurang jitu disebabkan titik graviti yang tinggi dan jauh lebih berat.

Selain daripada itu, kenderaan yang dibina atas kerangka ladder frame ini kurang mempunyai titik atau zon remuk yang mampu menyerap impak kemalangan.

 

contoh casis monocoque pada Land Rover Defender baharu


Disebabkan itu, wujudnya platform serba baharu yang menjadi tunjang utama di dalam pembinaan kenderaan moden - kerangka monocoque atau unibodi.

Oleh kerana binaannya yang lebih ringkas, ia mampu menawarkan ciri keselamatan yang jauh lebih baik, serta casis yang ringan menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.

Selain daripada itu, titik graviti yang lebih rendah pula menjadikan kenderaan yang dibina menggunakan kerangka ini kurang cenderung untuk terbalik dan menawarkan pemanduan yang jauh lebih selesa.

Malah, kebanyakan SUV monocoque kini mempunyai karakteristik pemanduan yang hampir menyamai sebuah kereta penumpang.

Platform yang moden ini juga kini memasuki arena pembinaan trak pikap di mana  beberapa pengeluar di dalam dunia sudah pun mula menawarkan model 'trak pikap' binaan unibodi.

 


Seperti contoh, Ford baru-baru ini memperkenalkan model Maverick yang menggunakan asas daripada SUV Ford Bronco Sport dengan dimensi yang lebih kecil daripada Ford Ranger, akan tetapi menawarkan keupayaan yang hampir sama dengan abangnya itu.

Baca: Ford Maverick 2022

Bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan semasa, kami senaraikan beberapa buah model trak pikap unibodi yang sudah pun berada di pasaran, serta beberapa contoh trak pikap konsep yang pelik dan juga aneh.

 

1. Honda Ridgeline


Ya, Honda juga mempunyai produk trak pikap unibodi, dan ia boleh didapati di pasaran Amerika Syarikat sahaja.

Honda Ridgeline didatangkan dengan enjin VTEC V6 3.5 liter dengan angka output 280 hp dan 355 Nm, sistem pacuan roda hadapan standard dan transmisi automatik sembilan kelajuan.

Baca: Honda Ridgeline 2021

 

2. Hyundai Santa Cruz


Hyundai Santa Cruz mengambil platform SUV Santa Fe dan kemudian ditambah dengan kehadiran bed di bahagian belakang.

Santa Cruz datang dengan dua pilihan enjin 2.5 liter, iaitu nadi aspirasi natural yang menghasilkan 190 kuasa kuda dan 244 Nm serta padanan transmisi automatik lapan kelajuan, manakala pilihan enjin 2.5 liter turbo pula berupaya menghasilkan 275 hp dan 420 Nm, serta transmisi klac berkembar dan paddle shifter.

Baca: Hyundai Santa Cruz 2022

 

3. Farizon FX


Ini merupakan model trak pikap unibodi yang paling aneh pernah wujud dan dihasilkan oleh anak syarikat Geely, iaitu Farizon.

Senang cerita, ia adalah sebuah Proton X70 yang telah diberikan ruang belakang tambahan, namun kerja rumah yang diberikan itu tidak siap sepenuhnya, maka jadilah Farizon FX.

Baca: Farizon FX


4. Fiat Strada


Jika tadi kita melihat trak pikap dalam segmen kompak, Fiat Strada pula tergolong di dalam segmen trak pikap atau ute subkompak yang lebih kecil dimensinya.

Trak pikap kecil ini dihasilkan untuk pasaran Brazil, di mana dimensinya agak menghampiri Proton Arena.

Baca: Fiat Strada 2021

 

5. Volkswagen Tarok


Volkswagen juga berminat untuk 'menyerang' pasaran Brazil dengan trak pikap subkompak, dan Tarok merupakan jawapan VW kepada Fiat Strada.

Namun, malangnya Volkwagen Tarok masih lagi kekal sebagai sebuah model konsep, namun bagi mereka yang mahukan trak pikap VW yang sebenar harus menunggu model terbaharu Amarok yang dibangunkan atas pelantar Ranger.

Baca: Volkswagen Tarok

Baca: Volkswagen Amarok generasi baharu


6. BMW X7


BMW X7 merupakan model one-off sebenar yang dihasilkan sendiri oleh BMW bersempena dengan acara Motorrad Days dua tahun yang lalu.

Ia merupakan hasil kerja para pelatih vokasional BMW itu sendiri dan mereka berkolaborasi dengan divisyen Concept Vehicle Construction and Model Technology BMW.

Ruang belakang trak pikap ini dikatakan mampu membawa sebuah motosikal BMW F 850 GS.

Baca: Trak pikap one-off BMW X7

 

7. Proton Pick-Up

sumber gambar: Carlist


Kami pasti dan yakin ramai yang masih belum melupakan model konsep yang pernah dihasilkan oleh Proton beberapa tahun yang lalu.

Proton Pick-Up Concept ini sebenarnya menggunakan pelantar monocoque Exora dan ditambah dengan elemen-elemen yang lasak, seperti muka hadapan diinspirasikan daripada F-150, cladding plastik tebal, dan bahagian belakang dipotong untuk membentuk bed kargo.

Sehingga kini, Proton masih lagi belum menceburkan diri dalam arena pembinaan trak pikap, selain daripada produksi ute Proton Arena yang sudah pun tidak diteruskan sejak tahun 2009 lagi.

Berita Berkenaan

Berita Global
Hyundai baru-baru ini mengumumkan senarai harga jualan bagi model trak pikap kompaknya, Santa Cruz…
Berita Global
Pada ketika itu, Honda Ridgeline baharu sahaja memasuki generasi kedua, Hyundai mungkin sedang…
Berita Global
Sebelum ini, beberapa gambar intip telah pun dikesan menunjukkan trak pikap baharu itu yang masih…