Tujuh jurutera digantung kerja, jambatan dengan pusingan 90 darjah menimbulkan isu keselamatan

oleh Penyumbang Rencana|
foto NDTV
Sebuah jambatan bernilai lebih RM9 juta di India menjadi kontroversi selepas reka bentuk 'merbahaya' dengan selekoh hampir 90 darjah hingga membawa kepada tindakan penggantungan kerja tujuh jurutera dan dua syarikat pembinaan disenarai hitam oleh kerajaan negeri Madhya Pradesh, India.

Jambatan Rail Over Bridge (ROB) sepanjang 648 meter yang mula dibina 10 tahun lalu sepatutnya menjadi nadi baharu bagi menghubungkan kawasan Mahamai Ka Bagh, Pushpa Nagar dan stesen utama dengan New Bhopal.

Namun, struktur yang dibina dengan kos 200 juta rupee (kira-kira RM9.86 juta) itu kini mencetuskan kontroversi besar selepas gambarnya tular di platform X.

Imej jambatan menunjukkan, satu selekoh tajam yang hampir menyerupai sudut tepat, sekali gus mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya terhadap aspek keselamatan dan perancangan jurutera.

Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav segera mengarahkan siasatan dalaman dan menggantung tujuh jurutera terbabit termasuk dua jurutera kanan.

"Sebuah siasatan jabatan akan dijalankan terhadap seorang jurutera kanan yang bersara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengumumkan, agensi pembinaan dan perunding reka bentuk yang terbabit dalam projek itu disenarai hitam serta-merta kerana didakwa bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk yang tidak praktikal.

Bagaimanapun, Ketua Jurutera projek, VD Verma mempertahankan reka bentuk itu dengan mendakwa pihaknya tiada pilihan lain berikutan kekangan ruang tanah dan kedudukan stesen metro berdekatan.

"Ketika itu, ruang yang ada sangat terhad. Kami terpaksa reka bentuk mengikut keadaan lapangan," katanya.

Pihak berkuasa akhirnya mencadangkan pembelian tanah tambahan supaya selekoh lebih selamat dapat dibina semula.

Projek yang pada asalnya bertujuan mengurangkan kesesakan di lintasan kereta api dan memendekkan masa perjalanan untuk lebih 300,000 pengguna, kini menjadi bahan kontroversi.

Video tular di sini: https://youtube.com/shorts/zhrY_ayv1WE?si=mkDnh88M10HULMyS

NDTV

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kerajaan komited untuk melihat potensi jambatan yang dicadangkan untuk menghubungkan pulau ini dan…
Berita Global
Pembinaan bermula pada 2022 bersempena Hari Bumi dan dijangka siap menjelang akhir 2026 dengan…
Berita Domestik
Mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke Limbongan. Kereta Myvi yang dipandunya…