Tuju - Aplikasi navigasi pemanduan alternatif dari Lembaga Lebuhraya Malaysia

oleh Penyumbang Rencana|
Foto Amanz
Rakyat Malaysia seringkali guna aplikasi popular untuk navigasi pemanduan seperti Waze dan juga Google Maps untuk membantu pemanduan lebih cepat dan jalan pintas serta makluman sekatan jalan.

Kini, turut memberikan lebih pilihan kepada para pengguna adalah aplikasi yang dibangunkan di Malaysia, iaitu Tuju.

Tuju merupakan aplikasi yang dibangunkan bersama oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. Ia ditawarkan untuk pengguna Android dan iPhone buat masa ini, dan disediakan secara percuma.

Menggunakan Tuju, anda boleh menyertakan lokasi yang dituju, dan seterusnya ia akan menganggarkan masa perjalanan, kos tol yang terlibat, dan turut memudahkan pengguna untuk melihat informasi trafik semasa dan juga kamera litar langsung untuk setiap lebuh raya.

Pada masa yang sama, anda turut boleh menyemak kawasan Rehat & Rawat yang akan dilalui sepanjang perjalanan.

Pengguna juga turut boleh menghantar laporan berkaitan sebarang insiden sepanjang jalan menggunakan aplikasi ini, di samping disediakan pautan pantas ke perkhidmatan kecemasan ketika di lebuh raya.

Buat masa ini, daripada percubaan kami, boleh dikatakan aplikasi ini masih pada peringkat awal, dan sekiranya terus ditambah baik dari masa ke semasa, tidak mustahil menjadi salah satu aplikasi alternatif yang baik untuk Waze dan Google Maps.

AstroAwani/Amanz