Tugas berat menanti UiTM Eco-Planet di Shell Eco-Marathon, Singapura

oleh Afandi Che Muhamad|
Bulan Mac ini merupakan detik bersejarah bagi pasukan UiTM Eco-Planet dan enam lagi pasukan Malaysia lain apabila mereka terpilih menyertai pertandingan Shell Eco-Marathon (SEM) 2018 di Singapura.

Pada pertandingan itu nanti, kereta Hidrogen ciptaan ketujuh-tujuh pasukan dari Malaysia yang terdiri daripada 115 pelajar tersebut akan bertarung satu sama lain dalam ujian kecekapan tenaga dijalankan.

Pengurus pasukan UiTM Eco-Planet, Sollehan Suhana Zainuddin (gambar), 23, berkata, dia begitu teruja dapat menyertai siri penganjuran SEM sekali lagi tahun ini dan menyifatkan kewujudan acara sedemikian membuka ruang untuk golongan pelajar mengetengahkan idea pembinaan kereta cekap tenaga janaan Hidrogen.

"Saya menjangkakan cabaran yang bakal dihadapi kali ini lebih sukar, dan tekanan itu datang daripada enam pasukan tanah air sendiri termasuk Monash University Malaysia (dua pasukan), Kampus Universiti Multimedia Melaka, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Malaysia Pahang.

"Masing-masing menggalas matlamat sama ke pertandingan itu nanti iaitu merebut gelaran juara dan mengharumkan nama negara serta institut pengajian diwakili," katanya.

Mengulas lanjut, Sollehan memberitahu pasukannya optimis mampu mengulangi episod kejayaan mereka dalam tiga edisi SEM sebelum ini iaitu pada tahun 2014, 2015 dan 2016.

Jelasnya lagi, tenaga kejuruteraan mereka yang rata-ratanya terdiri daripada 13 wanita dan 17 lelaki itu kini giat melakukan persiapan terhadap jentera taruhan dikenali sebagai Hornet.

Tambah Sollehan, jentera berkenaan akan dikemudi dua pelumba pasukan mereka terdiri daripada D'haziq Wazieen Saidin (kiri) dan Muhammad Syarifuddin Abdul Jalil (kanan).

Terdahulu, UiTM Eco-Planet dilaporkan menggantikan tempat pasukan UiTM Eco-Sprint juga dari UiTM Shah Alam selepas bekas juara tahun lalu itu mengumumkan tidak akan bertanding dalam kategori Hidrogen lagi pada masa hadapan.

Berita Berkenaan

MotorGP
RNF Racing, yang diterajui Razlan merupakan sebuah pasukan yang dijenamakan semula daripada…
Sukan Bermotor
  Hamilton menarik balik gaji ditetapkan sebanyak £40 juta (RM231.80j) musim ini dan menerima gaji…
MotorGP
  "Kami dengan bangga dan gembira ingin memaklumkan kerjasama bersama Hafizh yang akan mengibarkan…