Menurut Hishammuddin, selain menampung penugasan helikopter Nuri yang telah tamat operasi, sewaan itu juga bertujuan memastikan tempoh penerbangan, kos operasi dan penyelenggaraan helikopter EC725AP lebih efektif.
Pada masa sama katanya, kaedah sewaan berkonsepkan GOCOM itu diharap dapat mengekalkan kompetensi anak kapal helikopter Nuri ketika ini.
“Helikopter AW 139 ini dipilih kerana kemampuannya untuk melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik kepada TUDM serta ATM (Angkatan Tentera Malaysia).
Ia juga berkeupayaan untuk melaksanakan peranan dan tugas ‘utility fleet‘ helikopter TUDM serta mampu beroperasi pada waktu siang dan malam,” katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerja ke Pangkalan TUDM Butterworth, pada hari Khamis.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.
Jelas Hishammuddin, selain AW139, aset ATM lain yang mengguna pakai kaedah GOCOM ialah helikopter latihan Airbus EC120B dan ‘Flight Simulation Training Device’ (FSTD) Untuk Kegunaan Kursus Asas Juruterbang Helikopter TUDM selain Bot Op Pasir.
“Kerajaan memilih mengguna pakai kaedah GOCOM ini kerana merupakan pendekatan luar kotak yang amat diperlukan terutama ketika tumpuan kewangan kerajaan ketika ini terarah kepada usaha pemulihan negara di era pandemik.
Dengan kaedah ini juga, tempoh masa untuk melaksanakan proses perolehan termasuk berkaitan tender serta pembinaan aset dapat dikurangkan,” katanya.
