TUDM pintas 16 pesawat China masuki ruang udara Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Sabah semalam.

Ia dikesan di Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional, menurut kata Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan hari ini.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat- pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Tambah kenyataan itu, mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.

 


Menurutnya, pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri mengancam kedaulatan negara.

Justeru TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Jelasnya, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 petang waktu tempatan untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan di dalam KK FIR.

“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN) dan Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” tegas TUDM.

Sumber: Malaysia Gazette

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perolehan helikopter baru itu akan dilakukan dalam tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2026…
Berita Domestik
Menurut laporan daripada EurAsian, pengarah Perkhidmatan Persekutuan untuk Kerjasama Teknikal…
Berita Domestik
Kawad konvoi ini melibatkan pergerakan 20 buah kenderaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu…