Triumph Trident 660 2021 - harga dari RM43,900

oleh Mohamad Hanif|
Triumph Motorcycles Malaysia baru-baru ini melancarkan secara rasmi Triumph Trident 660 2021.

Ia dikuasakan oleh enjin 660 inline-triple 12 injap dengan bantuan sejukan cecair yang mampu menghasilkan 80 kuasa kuda @ 10,250 rpm dan daya kilas 64 Nm @ 6,250 rpm, serta padanan transmisi enam kelajuan dan klac assist slipper.

Menurut Triumph, hampir 90 peratus daripada daya kilas puncak tersebut boleh didapati pada julat keseluruhan putaran enjin.

 


Sisa-sisa pembakaran daripada enjin itu tadi disalurkan keluar menerusi sistem ekzos keluli tahan karat dengan sistem header 3-1 sebelum diakhiri dengan peredam keluli tahan karat.

Selain daripada casis keluli tubular serba baharu, Triumph Trident 660 turut dipasang dengan kelengkapan seperti suspensi hadapan jenis terbalik SFF 41 mm daripada Showa, suspensi belakang tunggal RSU dengan pelarasan pra-muatan, serta sistem brek Nissin dengan angkup dua omboh di hadapan dan cakera berkembar 310 mm, serta angkup omboh tunggal di belakang dengan cakera tunggal 255 mm.

Sistem brek itu tadi dibantu dengan ciri keselamatan ABS dua saluran.

 


Antara kelengkapan moden yang turut dimuatkan termasuklah unit lampu LED penuh depan dan belakang, skrin paparan TFT berwarna dengan sokongan navigasi, pemain muzik, serta kawalan GoPro.

Ciri elektronik pula termasuklah dua mod tunggangan (Road dan Rain), teknologi ride-by-wire, serta kawalan cengkaman bagi memastikan penunggang sentiasa berada di dalam kawalan.

 


Dari segi dimensi, Triumph Trident 660 menawarkan ketinggian pelana sehingga 805 mm, kapasiti tangki bahan api sebesar 14 liter serta berat sekitar 189 kg.

Selain daripada itu, untuk mengurangkan kos pemilikan dan penyelenggaraan, Triumph Trident 660 memiliki tempoh antara servis sehingga 16,000 km, selain dilindungi dengan jaminan selama dua tahun tanpa had perbatuan.

 


Terdapat sehingga empat warna pilihan dan harga jualan pula bermula dari RM43,900 untuk warna solid, dan RM44,900 untuk warna premium.

Kumpulan pertama motosikal Triumph Trident 660 ini akan tiba pada 20 Februari 2021.

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Ia membawakan enjin bersesaran 660 cc inline-triple sejukan cecair yang berupaya menjana 80 kuasa…