Triumph TIger 850 Sport 2021 dilancarkan!

oleh Mohamad Hanif|
Pengeluar motosikal British Triumph memperkemaskan lagi penawaran motosikal segmen kembara dengan melancarkan secara rasmi model Tiger 850.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi kuasa, ia mengekalkan enjin yang terdapat pada model Tiger 900, iaitu nadi inline-triple berkapasiti 888 cc, dimana aspek seperti saiz bore, stroke sehinggalah kepada nisbah mampatan tidak berubah sama sekali.

Triumph walaubagaimanapun mengubah aspek pemetaan jentera di mana angka output menurun kepada 84 kuasa kuda pada putaran enjin 8,500 rpm dan daya kilas 81 Nm @ 6,500 rpm.

 


Menurut Triumph, talaan ini bertujuan untuk menjadikan tunggangan yang lebih versatil ketika mengembara, di mana kuasa tersedia walaupun pada julat putaran enjin yang lebih rendah.

Sistem transmisi pula adalah jenis enam kelajuan yang dipadankan dengan klac slip & assist, dan terdapat dua mod tunggangan yang disediakan iaitu Rain dan Road.

 


Jentera Tiger 850 secara asasnya masih lagi berkongsi casis tiub keluli dengan subrangka bolt-on dan lengan ayun aluminium tempa dua posisi, disokong dengan fork hadapan terbalik Marzocchi 45 mm dengan jarak pergerakan 180 mm, manakala penyerap hentak tunggal dengan tetapan pra-muatan belakang Marzocchi pula memiliki jarak pergerakan 170 mm.

Ketinggian tempat duduk pula boleh dilaraskan dalam dua posisi, iaitu 810 mm dan 830 mm.

 


Sistem pemberhentian menerima brek daripada Brembo Stylema dengan angkup empat omboh dan dua cakera 320 mm di bahagian hadapan, manakala roda belakang pula dilengkapi angkup omboh tunggal Brembo dipadankan dengan cakera 255 mm, dibantu dengan ciri ABS sebagai ciri standard.

Triumph Tiger 850 menggunakan rim aloi bersaiz 19 inci hadapan, rim bersaiz 17 inci di belakang yang dibaluti tayar Michelin Anakee Adventure.

Antara kelengkapan standard lain termasuklah skrin TFT bersaiz 5 inci, lampu LED penuh depan dan belakang, soket kuasa 12V, cermin penghalang angin boleh laras dan kawalan cengkaman yang boleh ditetapkan.

 


Selain daripada itu, Triumph turut menawarkan aksesori menarik termasuklah beg barangan, pelindung bar hendal, hendal dengan pemanas terbina dalam, sump guard dan banyak lagi.

Di pasaran luar, harga jualan Triumph Tiger 850 2021 bermula dari $11,995 (RM49,030) dan bakal mendarat di pusat pengedar bermula Januari, 2021.