Triumph TE-1, motosikal naked dengan nadi elektrik! (prototaip dulu)

oleh Muhammad Md Tajudin|
Triumph TE-1
Triumph TE-1
Perkembangan kereta penumpang bernadikan kuasa elektrik memang maju dan bagaimana pula dengan motosikal?

Setakat ini sudah ada beberapa jenama massa menawarkan motosikal elektrik cuma banyak dalam segmen kecil.

Landskap dunia dua roda dijangka berubah dalam tempoh beberapa tahun lagi apabila jenama berprestasi tinggi sudah pun mengorak langkah.

Terbaru motosikal elektrik Triumph TE-1 dalam bentuk prototaip telah pun siap dan dikongsi secara terbuka.

Projek ini sebenarnya adalah hasil kerjasama beberapa pihak seperti Triumph Motorcycles, Williams Advanced Engineering (WAE), Integral Powertrain Ltd dan WMG di Universiti Warwick.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Triumph TE-1

 

Projek TE-1 dibiayai oleh kerajaan United Kingdom melalui Office for Zero Emission Vehicles di bawah program Innovate UK.

Projek ini sudah sampai ke peringkat akhir kerjasama dan unit demonstrasi telah pun sedia untuk fasa seterusnya iaitu pengujian secara langsung dan diterajui oleh Triumph.

Triumph TE-1 menggunakan pek bateri WAE dengan beberapa lagi komponen seperti unit kawalan kenderaan, pengubah DCDC, penyejuk bersepadu, port pengecasan dan penutup karbon.

WAE bertanggungjawab untuk keseluruhan sistem bateri TE-1 dan dari segi kuasa, bateri itu mempunyai output 170kW (228hp) dan kuasa berterusan 90kW (121hp) dengan kapasiti 15kWh.

 

Triumph TE-1

 

Angka itu diterjemahkan kepada motosikal yang berkuasa 130kW (174hp) dan kuasa berterusan 80kW (107hp).

Untuk pengecasan pula, sistem 360 volt dengan pengecasan pantas boleh bermula dari 0 hingga 80 peratus dalam masa tidak sampai 20 minit!

Satu lagi ciri untuk motosikal elektrik ialah pembahagian berat.

WAE memberi perhatian kepada bentangan modul bateri bagi menyeimbangkan berat (mass) dan kedudukan di dalam casis motosikal.

WAE mengambil kira beberapa faktor seperti pusat graviti, ruang dan hubungan di antara rangkaian kuasa dan kaedah pengecasan.

Unit kawalan kenderaan yang baharu dan buatan khas disepadukan pada pek bateri bagi mengurangkan berat dan pakej keseluruhan.

 

Triumph TE-1

 

Dengan segala kerja-kerja dan pelaburan yang dibuat apakah tujuan projek ini?

Objektif keseluruhan ialah untuk membangunkan keupayaan motosikal elektrik dalam menyediakan input kepada motosikal elektrik Triumph pada masa depan.

Maknanya, motosikal elektrik Triumph memang ada dalam perancangan!

Projek ini juga bertujuan bagi memacu inovasi, keupayaan, harta intelek baharu serta mempertingkatkan kredibiliti dan profail industri dan reka bentuk British.

 

Triumph TE-1

 

Dalam tempoh enam bulan akan datang, motosikal prototaip ini akan diuji secara langsung di pelbagai kemudahan milik Triumph termasuk ujian di litar.

Selepas tamat fasa pengujian, motosikal prototaip Triumph TE-1 akan dilengkapi dengan panel badan akhir untuk demonstrasi litar secara aktif pula.

Lain-lain maklumat penting seperti prestasi dan jarak bateri akan diumumkan kemudian.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Triumph TE-1