Triumph Malaysia perkenal varian baharu Street Triple 2018

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Fast Bikes Sdn Bhd, pengimport, pengedar dan penjaga rasmi bagi jenama Triumph di Malaysia, dengan rasminya telah memperkenalkan tiga varian baru bagi motosikal Street Triple 2018 yang telah mendapat pujian ramai.

Varian terbaru Triumph Street Triple ini meneruskan warisan Street Triple generasi yang terdahulu yang menjadi kegemaran di kalangan peminat motosikal yang inginkan sesuatu yang ringan dan lincah, dan pada masa yang sama, praktikal dan juga mesra pengguna.

Mula diperkenalkan pada tahun 2007, motosikal Street Triple telah dijulang sebagai antara motosikal ‘naked’ yang terbaik untuk kegunaan dalam bandar mahu pun di atas litar dengan jualan melebihi 50,000 unit di serata dunia. Generasi terkini Street Triple ini mempertingkatkan lagi apa yang kelihatan seperti resepi yang sempurna.

Tiga varian telah diperkenalkan bagi pasaran Malaysia – Street Triple S, Street Triple RS, dan Street Triple Low Ride Height (LRH) yang mana ianya menawarkan sebuah pelana yang istimewa yang dipasang 30mm lebih rendah daripada pelana piawai. 

triumph1

 

Motosikal Triumph Street Triple S boleh didapati dalam dua warna – Diablo Red dan Phantom Black, dengan harga RM52,900.00.

Varian Street Triple R (LRH) menawarkan pilihan tiga warna – Crystal White, Phantom Black dan Matt Silver Ice – dengan harga RM59,900.00. 

Varian Street Triple RS pula disediakan dalam dua warna – Matt Silver Ice dan Phantom Black (Metallic), dengan harga RM66,900.00. Kesemua harga adalah termasuk GST.

Berucap di majlis pelancaran Triumph Street Triple S dan RS yang baru ini, Dato’ Razak al-Malique, Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, berkata generasi motosikal Triumph Street Triple yang sebelum ini merupakan antara salah sebuah motosikal paling versatil dalam segmennya.

“Street Triple menawarkan praktikaliti bagi mereka yang inginkan jentera tunggangan harian, dan ia mempunyai prestasi yang menakjubkan untuk hujung minggu di atas litar. Motosikal Street Triple yang baru ini dibina atas formula yang sudah pun terbukti dan ia telah menjadikannya lebih baik lagi. Kami berasa yakin yang penunggang di Malaysia akan mendapati yang motosikal Street Triple ini cukup sesuai untuk keperluan mereka.  Sama ada untuk berulang alik, mengembara atau menunggang di litar, mereka pasti akan menyukai prestasi motosikal Street Triple S, R dan RS yang baru ini,” katanya.

triumph2

Direka semula untuk tanda aras baru
Street Triple yang baru ini telah direka semula secara menyeluruh bagi menetapkan satu tanda aras yang baru dalam ke semua kategori. Rekaan bagi motosikal ‘naked’ yang baru ini kini tampak lebih agresif dan penuh berpewatakan. 
Lampu hadapannya kini bercirikan Lampu Nyalaan Siang (Daylight Running Lights– DRLs) untuk varian R dan RS, yang mana ianya meningkatkan lagi keternampakannya untuk pengguna jalan raya yang lain. DRLs ini juga 28 kali lebih terang berbanding model generasi sebelum ini yang bercirikan sebuah mentol lampu sisi.

Rekaan keseluruhan untuk Street Triple juga telah diperkemaskinikan dengan struktur badan serba baru seperti penutup radiator luaran dan dalaman baru, madgad hadapan dan belakang yang baru, dan panel belakang badan yang baru. Varian RS dibezakan dari varian yang lain dengan dulang perut yang mengikut kod warna, penutup pelana pembonceng yang mengikut kod warna dengan pelana pembonceng yang boleh ditukar-ganti sebagai kelengkapan standard, dan sebuah pengadang bawah rantai.

Kualiti keseluruhan juga telah dipertingkatkan lagi dari model yang terdahulu, dengan perhatian utama diberikan kepada kualiti dan perletakan ergonomik suis-suis supaya mudah untuk digunakan pada kelajuan yang tinggi, manakala Street Triple R dan RS pula kini dilengkapi dengan kawalan kayu ria lima cara yang intuitif serba baru bagi menjadikannya lebih ergonomik dan mudah untuk memilih mod penunggangan ketika menunggang.

Gugusan instrumen juga telah diperkemaskini untuk generasi terbaru Street Triple ini. Varian S telah dikemaskini dengan skrin instrumen LCD yang memaparkan tolok bahanapi, odometer dan juga Meter Perjalanan. Varian R dan RS pula telah dikemaskini dengan paparan TFT lima inci serba baru yang dikatakan antara yang tercanggih dalam industri permotosikalan. Paparan TFT berkenaan menawarkan empat tema berbeza yang mengubah susun atur maklumat yang berkaitan dengan mod penunggangan yang dipilih. Paparan itu juga dapat dilaraskan supaya penunggang yang mempunyai ketinggian yang berlainan dapat melihat skrinnya dengan jelas dan tepat.

Kemasan serta perincian yang berkualiti tinggi ini diteruskan lagi dengan rekaan semula pengadang tumit penunggang dan tempat letak kaki pembonceng yang ditempa. Bagi kerangkanya pula, varian Street Triple S akan dilengkapi dengan rangka utama bersadur serbuk hitam, sub-rangka dan lengan ayun. Manakala varian Street Triple RS pula akan dilengkapi dengan sub-rangka belakang yang diwarnakan dengan warna perak aluminium matte.

triumph3

 

Enjin yang lebih berkuasa
Street Triple yang baru dijana oleh enjin yang lebih besar namun lebih ringan berbanding dengan enjin yang lama. Enjin yang baru ini berasaskan dari enjin yang digemari ramai, 675cc, yang menjadikan Triumph Daytona sebuah motosikal yang disanjung tinggi. Ia bercirikan 80 bahagian enjin yang baru yang juga termasuk lejang dan gerek yang dibesarkan, aci yang baru, omboh, con-rod, dan engkol pengimbang. Terdapat juga laras aluminium disadur nikasil baru yang menggantikan pelapik besi yang lama di dalam enjin 675cc. 

Enjin tiga-silinder 765cc yang diasaskan dari Daytona itu bercirikan tahap keluaran kuasa yang berbeza bagi varian S, R dan RS. Untuk Street Triple S, enjin itu menghasilkan 111bhp pada 11,250rpm dan 73Nm tork pada 9,100rpm. 

Bagi varian R, enjin itu menghasilkan 116bhp pada 12,000rpm dan 77Nm tork pada 9,400rpm. Untuk RS pula, enjin DOHC, 12-injap, sejukan cecair yang sama, menghasilkan 121bhp pada 11,700rpm dan 77Nm tork pada 10,800rpm. 

Ketiga-tiga varian bercirikan suntikan bahanapi elektronik berbilang aras berjujukan dengan SAI dan kawalan pendikit elektronik. Sistem ekzos pada kedua-dua motosikal ini juga serupa dengan sistem ekzos keluli tahan karat tiga ke dalam satu dengan peredam keluli tahan karat satu sisi rendah. Kuasa dipacu melalui klac berbilang plet basah dengan fungsi ‘slip and assist’. Hanya varian RS sahaja yang dilengkapi dengan ‘quickshifter’ sebagai kelengkapan standard.

Kuasanya diselaras oleh sebuah ECU pintar yang menawarkan sehingga lima mod penunggangan yang berbeza. Street Triple S dilengkapi dengan dua mod penunggangan – ‘rain’ dan ‘road’ – dengan ABS serta Kawalan Cengkaman Triumph, manakala varian RS pula dilengkapi dengan lima mod – ‘rain’, ‘road’, ‘sport’, ‘track’ dan satu lagi mod yang boleh diprogram oleh penunggang dengan campur tangan elektronik yang boleh diubah tetapannya. Varian R dilengkapkan dengan ke semua mod penunggangan yang sama seperti RS, kecuali mod ‘track’.

Kesemua varian didatangkan dengan ABS dan kawalan cengkaman sebagai kelengkapan standard.

triumph5

 

Pengendalian yang tiada bandingan
Motosikal Street Triple telah dikenali sejak dahulu lagi sebagai salah sebuah motosikal ‘naked’ dengan pengendalian yang terbaik di dalam industri, dan generasi terkini Street Triple ini tiada bezanya. 

Motosikal Street Triple kekal sebagai motosikal teringan dalam kelasnya, membantu pengendaliannya yang sudah ternyata hebat itu adalah lengan ayun belakang yang lebih keras, jenis ‘gullwing’ yang mempunyai titik paksi baru yang memberikannya rintangan yang lebih semulajadi pada mampatan ketika pecutan mendadak. Lengan ayun yang baru membantu dalam menangani selekoh dengan lebih pantas dan kemas, kelakuan casis yang lebih jitu, dan prestasi nyah-dekam yang lebih baik. 

Triumph Street Triple S didatangkan dengan suspensi hadapan yang direka dan ditala khas baru, USD Showa SFF, dengan ruang gerakan sebanyak 110mm, dan penyerap hentakan tunggal pramuatan bolehlaras, Showa, dengan takungan dokongan dan ruang gerakan roda belakang 124mm. 

Varian R didatangkan dengan fork bolehlaras sepenuhnya Showa SF-BPF dengan ruang gerakan sebanyak 115mm. bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan penyerap hentakan tunggal Showa RSU dengan ruang gerakan sebanyak 131mm dengan pramuatan gegelung, lantunan serta pelarasan mampatan satu-kelajuan. Penyerap hentakan belakang itu juga dilengkapi dengan takungan dokongan. 

Varian RS yang canggih ini pula dilengkapi dengan fork hadapan beromboh besar Showa yang mempunyai spesifikasi tertinggi dengan ruang gerakan sebanyak 115mm. Fork hadapannya boleh dilaraskan sepenuhnya untuk pramuatan, lantunan dan redaman mampatan. Bagi bahagian belakangnya, RS ini dilengkapkan dengan penyerap hentakan tunggal Ohlins STX40 dengan takungan dokongan. Penyerap hentakan belakang ini bercirikan ruangan gerakan 131mm roda belakang, dan ianya boleh dilaras sepenuhnya untuk pramuatan gegelung, lantunan dan redaman mampatan.

Bagi RS, cengkamannya disediakan oleh Pirelli Diablo Supercorsa SP yang amat berkemampuan, sementara daya hentinya disediakan oleh angkup mono bloc jejari, empat-injap, Brembo M50 di bahagian hadapan. Bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan angkup gelongsoran  satu injap, Brembo.

Varian S dan R pula didatangkan dengan tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa. Daya henti Street Triple R disediakan oleh angkup monobloc jejari empat-omboh, Brembo M4.32 untuk bahagian hadapannya, serta angkup gelinciran satu omboh Brembo untuk bahagian belakangnya. Street Triple S pula akan dilengkapi dengan angkup gelinciran dwi-omboh Nissin untuk bahagian hadapan dan angkup gelinciran satu omboh Brembo di bahagian belakang untuk membekalkannya dengan daya henti.

Untuk maklumat lanjut tentang rangkaian terbaru Triumph Street Triple, sila kunjungi www.triumphmotorcycles.my. 

triumph6

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Semangat dan sejarah kereta itu diraikan firma reka bentuk automotif Makkina dengan…
Berita Global
  Badan kereta yang dibida dipunyai oleh ayah pemilik sekarang dan dibeli pada 1961 bagi…
Berita Global
  Setelah selesai diuji apakah hasilnya?  Kuasa puncak 130 kW (175bhp) dengan daya pecutan 0-97…