Triumph Bonneville Bobber Black dan Speedmaster dilancar - Harga bermula RM79,900 seunit

oleh Afandi Che Muhamad|
Pengimport dan pengedar bersama motosikal berjenama Triumph di Malaysia, Motoradic Sdn. Bhd. juga Fast Bikes Sdn. Bhd. baru-baru ini memperluaskan portfolio rangkaian modelnya di pasaran tempatan menerusi siri pengenalan dua model baharu terdiri daripada Triumph Bonneville Bobber Black serta Speedmaster baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn. Bhd., Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata, Bonneville Bobber telah membawa jenama Triumph ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

"Ia (Bonneville Bobber) adalah motosikal yang menarik perhatian sesiapa sahaja, dan amat sesuai bagi mereka yang menggemari sentuhan klasik gaya bobber. Kini, Bobber Black sedia untuk melengkapi pakej Bonneville Bobber dengan gaya berani yang tersendiri, kejuruteraan yang elegan dan yang paling utama, tunggangan yang laju dengan bunyi yang mengujakan.

"Sementara, Bonneville Speedmaster pula membawa pengaruh DNA klasik keluarga Bonneville dengan paduan gaya Bobber yang unik tetapi lebih praktikal dan versatil. Ia menawarkan ergonomi penunggangan yang lebih relaks dengan beach bars yang terentang ke belakang, serta pemasangan pelana berkembar dan tunggal berbanding Bobber yang hanya didatangkan dengan satu pelana," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Bonneville Bobber Black, Razak menegaskan ia berasaskan model berjaya daripada Triumph iaitu Bonneville Bobber yang merupakan motosikal Triumph paling laris di dunia.

Tutur Razak, model Bobber Black menampilkan rim hadapan 16 inci yang tebal berbanding rim 19 inci pada Bobber standard selain didatangkan dengan fork hadapan Showa 47 milimeter (mm) lebih tebal berbanding 41mm pada Bobber, lampu hadapan LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang (DRL) serta butang tunggal bagi kawalan jelajah sebagai ciri standard.

Jelas Razak lagi, Speedmaster pula mempunyai tempat letak kaki yang dipasang ke hadapan, rim berjejari 16 inci dan tangki bahan api 12 liter yang lebih besar bagi jarak perjalanan yang lebih jauh sekali gus menjadikan ia begitu ideal untuk penjelajahan jarak jauh. 

Razak memberitahu kuasa Speedmaster dipacu oleh enjin tork tinggi Triumph berkembar sebaris 1,200cc yang menghasilkan tork yang lebih tinggi menerusi pelarasan enjin Bobber.

Jelas Razak, tork puncak mampu dicapai Speedmaster sekitar 106Nm pada 4,000rpm dan catatan itu meningkat sebanyak 42 peratus daripada model sebelumnya (buatan tahun 2015) selain 10 peratus lebih daripada generasi semasa Bonneville T120.

Tidak hanya itu, kuasa yang dihasilkan Speedmaster pula adalah sebanyak 77PS dan pindahan kuasa ke gandar roda belakang dibantu kotak gear enam kelajuan

Untuk makluman, jumlah itu 25 peratus lebih tinggi berbanding Speedmaster 2015 dan 10 peratus mengatasi Bonneville T120.

Sebagai permulaan, kedua-dua model berkenaan dijual serendah RM79,900 seunit termasuk GST (tanpa insurans, cukai jalan dan nombor pendaftaran).

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.triumphmotorcycles.my.

Tags

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
  Enjin Rocket III TFC ini dinaikan kepada 2,458 cc dan diberikan perubahan dari segi injap…
Pelancaran
Triumph Motorcycles Malaysia baru-baru ini melancarkan lima buah model baharu untuk pasaran…
Berita Global
Di bawah ialah senarai motosikal paling laku jualannya di UK.   10. Honda NSC 100 Vision