Tren tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, KTMB gantung tugas empat kakitangan selama dua minggu

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: Utusan
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas empat kakitangannya termasuk pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket susulan kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris sehingga menyebabkan 100 pelajar tidak dapat ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022, semalam.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Taha, berkata beberapa kakitangan lain yang terbabit dalam insiden semalam turut dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan yang akan dilengkapkan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata pihaknya amat kesal dan memandang serius perkara itu dan satu panel siasatan sudah diwujudkan bagi membuat siasatan lebih terperinci dengan mengambil kira semua aspek sama ada dari sudut operasi, teknikal serta corak larian kereta api berkenaan.

"Pihak KTMB menganggap insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan pastikan beberapa langkah akan diambil bagi memastikan ia tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, tindakan yang akan diambil nanti bergantung kepada penilaian panel terhadap kes itu , selain turut mencadangkan kepada pihak pengurusan kereta api untuk tindakan yang perlu diambil dalam menyelesaikan insiden ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Kawalan Operasi KTMB, Afzar Zakariya.

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata, panel siasatan yang diwujudkan dalam insiden berkenaan adalah prosedur biasa bagi membantu menangani sesuatu insiden yang berlaku dalam KTMB dan kejadian semalam adalah yang pertama kali.

"Dalam insiden semalam, pihak KTMB sekali lagi memohon maaf kepada semua warga Kuala Gris dan pelajar sekolah terutamanya kepada ibu bapa serta pihak SMK Dabong selain penduduk di kawasan sekitar di atas kejadian yang berlaku semalam," katanya.

Media semalam melaporkan, keterujaan 100 pelajar SMK Dabong untuk ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022 bertukar sebaliknya, apabila kereta api yang sepatutnya mereka naiki tidak berhenti di Hentian Kuala Gris sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Situasi itu menyebabkan kesemua pelajar terbabit tidak dapat ke sekolah yang akhirnya pelajar itu kembali semula ke rumah masing-masing.

Sementara itu dalam tinjauan yang dilakukan di Hentian Kuala Gris pada pagi ini mendapati pelajar tetap menunggu kereta api di hentian berkenaan seawal jam 6.30 pagi untuk hadir ke sekolah dengan menaiki kereta api sebagai pengangkutan utama.

Seorang pelajar SMK Dabong, Nur Nabila Abd Rani, 19, berkata, dia menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama untuk ke sekolah sejak tujuh lalu.

"Insiden yang berlaku semalam adalah pertama kali dan ketika pulang ke rumah, ibu terkejut apabila saya memberitahu kereta api tidak berhenti dan berlalu pergi meskipun ramai pelajar sedang menunggu di hentian itu.

"Pada pagi ini, saya bersama dengan adik, Nur Najihah, 17, tetap menunggu kereta api seawal jam 6.30 pagi seperti kebiasaannya kerana ia pengangkutan utama selain menjimatkan masa untuk sampai ke sekolah," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
  "KTMB sudah pun menggunakan platform digital untuk penjualan tiket yang membolehkan orang ramai…
Informasi
"Enam perkhidmatan ETS adalah melibatkan dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral - Padang Besar -…
Berita Domestik
"Untuk itu kementerian menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan…