Tren penumpang ECRL akan beroperasi pada kelajuan maksimum 160km/j

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Tren penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bergerak pada kelajuan maksimum 160 kilometer per jam (km/j) apabila memulakan operasi komersialnya pada Januari 2027 dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (ITT Gombak), Selangor.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL dalam kenyataannya memaklumkan infrastruktur rel termasuk kerja-kerja asas, landasan rel, sistem isyarat rel dan rolling stock dibangunkan khusus berdasarkan kepada reka bentuk kurang daripada 200km/j.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Sejak awal pembinaannya pada Ogos 2017, projek ECRL telah merancang, mengurus dan melaksanakan infrastruktur relnya berasaskan kepada keretapi laju untuk penumpang dan bukan untuk kereta api berkelajuan tinggi yang mengikut piawaian industri kelajuannya ditentukan pada sekurang-kurangnya 250km/j," menurut MRL.

Menurut kenyataan itu jajaran rel projek ECRL juga telah direka bentuk dengan lengkung horizontal dan sendeng (superelevation) serta kecerunan yang tidak setara dengan landasan rel kelajuan tinggi, memandangkan sebahagian besar jajaran di negeri-negeri Pantai Timur dibina di kawasan yang keadaan tanahnya lemah, memotong kawasan berbukit dan merentasi sungai yang lebar.

Sehubungan itu, MRL perlu menegaskan bahawa ECRL kekal sebagai kereta api laju bagi penumpang sahaja dan tidak boleh dinaik taraf atau ditukar menjadi kereta api berkelajuan tinggi mengikut spesifikasi kejuruteraan dan sistem operasi semasa, menurut kenyataan itu.

Kenyataan MRL itu bagi menjelaskan laporan berita yang memetik seorang pakar China yang menyatakan bahawa ECRL boleh meningkatkan kelajuannya kepada 351km/j ketika forum ASEAN mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), adalah tidak tepat dan mengelirukan.

MRL turut menekankan bahawa ECRL juga direka bentuk terutamanya untuk pengangkutan kargo, dengan 70 peratus nisbah pulangan semasa operasinya adalah daripada kargo dan 30 peratus penumpang.

Oleh itu, menurut kenyataan tersebut pertambahan bagi perkhidmatan penumpang ECRL sebahagian besarnya dikekang oleh keperluan reka bentuk bagi kereta api barang.

Menurut MRL tren penumpang ECRL akan dapat menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam tempoh empat jam apabila ia beroperasi pada Januari 2027 berbanding tujuh jam dengan pengangkutan jalan raya dan lebih lama pada musim perayaan.

 

Bernama