Transformasi EV - Malaysia sedang berada di landasan yang tepat

oleh Mohamad Hanif|
Banyak polemik timbul baru-baru ini merujuk kepada prestasi industri automotif Malaysia, khususnya pelaburan yang hadir ke negara-negara jiran jika dibandingkan dengan negara kita, Malaysia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Di antara polemik yang timbul tersebut turut membincangkan perihal pelaburan dan polisi yang dijalankan di negara tersebut, serta kebimbangan Malaysia ketinggalan di dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) - baik dari segi produk mahupun infrastruktur.

Walaupun fasa elektrifikasi sebenarnya sangat mencabar di mana-mana pasaran sekalipun, saya ingin mengulangi bahawa Malaysia sebenarnya sedang menuju ke arah itu. 

Malah, di dalam artikel terdahulu, saya telah menyebut bahawa perbandingan kemajuan tidak boleh dibuat epal kepada epal, oleh kerana kebanyakannya unik dari sudut pandangan sosio-ekonomi, budaya dan juga teknikal.
 


Sepertimana uniknya Malaysia di rantau ini, ia berada di kedudukan ketiga di dalam kedua-dua keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan juga kadar KDNK per kapita, menjadikan ekonomi kelas pertengahan yang menghampiri status ekonomi termaju, walaupun Malaysia merupakan negara keenam yang memiliki populasi terbesar daripada 10 ahli ASEAN.

Daripada sudut pandangan elektrifikasi, kita merupakan satu-satunya negara yang memiliki keupayaan reka bentuk dan pembuatan automotif sepenuhnya, selain mampu menukarkan bakat tempatan sedia ada di dalam bidang elektrifikasi dan mobiliti terhubung di dalam sektor ini.

Keadaan ini perlu disusuli dengan perangkaan polisi yang lebih berhati-hati untuk mengenal pasti keperluan di dalam proses perindustrian dan bukan tertumpu kepada fasiliti pengecasan dan barisan pemasangan semata-mata. 

 


Perubahan atau transformasi gaya hidup daripada bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil kepada pengangkutan sifar emisi merupakan sesuatu yang perlu dilalui oleh kedua-dua pengguna dan juga pengeluar.

Jadi, ini memerlukan rangka kerja elektromobiliti dibangunkan dari sifar dengan mengambil kira beberapa aspek seperti keselamatan, keperluan tenaga, budaya bergantung kepada tenaga fosil, kawalan pelepasan emisi serta normalisasi sosio-ekonomi.

Dasar Automotif National (NAP) telah meletakkan kepentingan kenderaan elektrik semenjak semakan pada tahun 2014, dengan rangka kerja insentif khusus untuk EV supaya ia dipasang dan dikilangkan di dalam negara. 

Walaupun terdapat beberapa isu dan proses yang perlu dilihat, pencapaian penting telah pun dicapai untuk membentuk asas elektrifikasi di Malaysia.
 


Pertama, standard dan peraturan telah pun digazetkan untuk EV, termasuklah kenderaan penumpang, motosikal, moped dan juga basikal. 

Standard ini tidak terhad kepada kenderaan semata-mata, akan tetapi turut merangkumi komponen penting di dalam EV seperti penghubung dan inlet, sistem pengecasan, soket serta ujian piawaian untuk bateri lithium ion. 

Sehingga November tahun lalu, terdapat lebih daripada 195 buah fasiliti pengecasan umum dengan anggaran jarak pengecasan kira-kira 4,345,046 kilometer yang mampu mengelakkan penghasilan emisi CO2 sebanyak 431,948 kg.

Terdapat beberapa cabaran yang perlu dinilai, khususnya daripada sudut pandangan pengguna itu sendiri. 
 


Walaupun ramai yang merungut tentang isu penstrukturan semula cukai kenderaan elektrik dan hibrid, tiada sebarang bukti yang mencadangkan bahawa pelaksanaan sifar cukai mampu diterjemahkan kepada jumlah jualan EV yang lebih banyak, atau menjadikan industri EV berkembang pesat.

Berdasarkan statistik, bilangan jumlah jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) hanyalah sekadar ratusan unit setahun, dan peningkatan penjualan kenderaan PHEV adalah disebakan pengurangan harga daripada insentif status kenderaan cekap tenaga (EEV).

Harga jualan yang tinggi daripada model-model ini juga hanya terhad kepada segmen premium dan kelas pertengahan atas, bermakna insentif yang diberikan tidak mampu mencapai sebilangan besar masyarakat. 

Hasil dapatan daripada sesi konsultasi bersama pemilik BEV juga turut menarik untuk dilihat.

Walaupun mereka cuba untuk menerapkan gaya hidup EV, adalah sukar untuk mereka lari daripada perasaan bimbang terhadap jarak operasi (range anxiety). 
 


Antara rungutan yang diterima termasuklah komplikasi memasang slot pengecasan di rumah, tindakan salahguna slot pengecasan EV oleh pengguna lain, dan masa pengecasan yang terlalu lama disebabkan ketiadaan opsyen fungsi pengecasan pantas.

Jadi, untuk merangsang pembangunan EV di dalam cara yang kondusif dan selamat untuk kedua-dua pihak pengguna dan pemain industri, semakan semula terhadap NAP akan diteruskan untuk mencipta satu model yang mampan kepada para pembeli, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan di dalam sektor terbabit supaya dapat menerajui gaya hidup elektromobiliti satu hari nanti. 

Dalam merancakkan lagi industri ini, kerajaan turut merancang untuk mendirikan sebuah EV Operability Centre (EVIC), sebuah fasiliti pengujian bersama untuk membangunkan EV dan produk yang berkaitan, termasuklah teknologi kenderaan, integrasi grid pintar, pengurusan serta penyimpanan tenaga. 

Ekosistem 'telaga-ke-tayar' (well-to-wheels) ini amat penting untuk memastikan transisi peralihan daripada pengangkutan konvensional kepada sistem mobiliti terhubung dapat dibuat dengan lebih baik dan lebih mampan. 
 


Artikel ini merupakan terjemahan kepada tulisan Dato' Madani Sahari, versi original boleh dibaca menerusi pautan di bawah:

Journey Progressing Well | New Straits Times

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Untuk mempromosikan pelaburan automotif ke dalam negara pula, India memberikan insentif cukai dan…
Berita Domestik
Majlis tandatangan itu telah berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (…
Berita Domestik
Terletak di Sime Darby Motors City, akademi tersebut akan menjadi peneraju penting bagi usaha Sime…