Trak vaksinasi bergerak - terus ke majikan lebih praktikal dan perlu diperluas

oleh SALINA JALIL|
Trak vaksin bergerak terus kepada kumpulan sasar seperti pekerja sektor pembinaan yang masih perlu beroperasi ketika pelaksanaan sekatan perjalanan penuh lebih praktikal dan berkesan sejak ia dimulakan awal bulan ini.


Tinjauan Bernama mendapati rata-rata masyarakat menyambut baik langkah itu dan menyifatkan ia dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada golongan memerlukan mereka bekerja di lapangan kerana risiko penularan COVID-19 di kawasan tersebut adalah tinggi.


Dalam masa yang sama, Kementerian Wilayah Persekutuan turut melipatgandakan usaha merancakkan program vaksinasi supaya sasaran imuniti kelompok di Wilayah Persekutuan sebelum akhir Ogos dapat dicapai.


Menurut menterinya, Tan Sri Annuar Musa, kekuatan skuad vaksinasi bergerak dipertingkatkan dengan penambahan trak secara berperingkat, di samping penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) statik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

“Hari itu kita mulakan dengan hanya tiga ke empat trak, tapi mulai esok kita tambah kepada 12, dan menjelang awal atau pertengahan bulan Julai kita akan tambah sehingga 40 buah trak.

 

“Bermakna kita punya outreach ini akan sampai ke segenap pelusuk Wilayah Persekutuan,” katanya.

 

Usaha itu didorong oleh kehadiran bekalan vaksin yang lebih besar bermula bulan depan hingga Ogos, dan Annuar percaya keupayaan logisitik kementeriannya dapat menjayakan matlamat yang telah disasarkan.

 

“Minggu lepas kita diperuntukkan dengan 24,500 dos. Minggu ini kita cuba laksanakan pemberian lebih 32,000 dos.

 

“Apabila kita pergi full-swing nanti dengan 40 buah trak yang setiap satunya membawa 600 dos vaksin, kapasitinya adalah tujuh kali ganda iaitu kira-kira 24,000 sehari boleh kita lakukan,” maklumnya.

 

Semuanya sudah diatur dan seluruh pasukan telah diberi taklimat secara terperinci, Annuar yakin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Wilayah Persekutuan akan berjalan dengan baik dan rancak.

 

gambar dari astro awani
Gambar dari Astro Awani

 

 

Bagi Nolierny Salleh, 41, jurutera pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pula berpandangan vaksinasi melalui trak bergerak dapat memudahkannya untuk tidak menunggu giliran terlalu lama.

 

"Sebelum ini, dilaporkan kaedah permohonan vaksin yang dibuka secara rawak, ada kata boleh akses ada kata tidak boleh, tapi kalau kaedah seperti ini kita pekerja pun tidak lagi perlu tertanya-tanya bila akan divaksin walaupun sudah daftar di MySejahtera.

 

"Ada juga yang daftar tapi masih menunggu lama, sedangkan kita bekerja di lapangan ini terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19," katanya.

 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilapor berkata 30 trak bergerak vaksinasi akan diaktifkan di kawasan berkepadatan tinggi, serta tapak pembinaan bagi membolehkan imuniti kelompok di ibu negara dapat dicapai lebih awal menjelang Oktober tahun ini.

 

 

 

-- BERNAMA