Trak pikap paling berkuasa, paling mahal dari Hennessey - Mammoth 6x6 dengan enjin Hellephant 1,200 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak lama selepas pelancaran rasmi trak pikap pesaing kepada F-150 Raptor, RAM TRX akhirnya bakal mendapat versi pacuan 6x6, tidak lain dan tidak bukan hasil kerja daripada penala terkenal, Hennessey.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pasukan pembangun di Hennessey Performance Engineering (HPE) dikatakan merancang untuk menghasilkan trak pikap paling besar dan paling berkuasa dalam sejarah 29 tahun syarikat tersebut, dengan kod nama Mammoth 6x6.

Menggunakan RAM TRX sebagai asas, enjin asal Hellcat bentangan V8 berkuasa 702 hp akan digantikan dengan nadi 7.0 liter Hellephant yang mampu menghamburkan output setinggi 1,200 hp!

Mammoth 6x6 ini hanya akan dihasilkan sebanyak tiga unit sahaja, menjadikannya trak pikap 6x6 paling berkuasa dan paling eksklusif pernah dihasilkan oleh Hennessey.

 

 


Ia juga bakal menjadi produk talaan yang paling mahal, iaitu $500,000 (RM2.07 juta) termasuk dengan kos pembelian model asas RAM TRX.

Selain daripada sistem pacuan 6x6 dan penukaran bed trak yang lebih panjang, Mammoth 6x6 juga bakal menerima naiktaraf sistem suspensi off-road, kemasan ruang kabin yang tersendiri, bumper hadapan dan belakang serba baharu, sistem lampu LED dan pelbagai lagi.

Oleh sebab ia terlalu terhad, Hennessey hanya akan membuka tempahan bermula 4 September ini, di mana tiga pembeli terpantas perlu mendail 1-800-897-0426 untuk meletakkan tempahan mereka.

Baca: RAM 1500 TRX 2021