Ditawarkan dalam satu varian sahaja, Maxus T60 didatangkan dengan enjin diesel turbo 2.8 liter VGT yang mampu menghasilkan 150 kuasa kuda dan 360 Nm @ 1,600-2800 rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam nisbah kelajuan, dan sistem pacuan empat roda.
Dengan tangki bahan api sebesar 75 liter, enjin yang menepati piawaian Euro4 ini mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api serendah 8.2 liter untuk setiap 100 km.
Dari segi luaran, ia membawakan ciri seperti lampu LED, rim aloi bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar 255/55 dari Continental, tempat pemijak sisi, rel bumbung, sports bar serta cermin sisi boleh lipat automatik dengan fungsi pemanas terbina.
Sementara ruang kabin pula menampilkan skrin infotainmen bersaiz 10 inci yang hadir dengan integrasi peranti pintar Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa automatik, kawalan cruise, soket kuasa 12V, roda stereng balutan kulit serta butang pandu mula.
Sebagai sebuah kuda kerja, Maxus T60 mampu menawarkan keupayaan menunda beban sehingga 3,000 kg, mengangkut beban seberat 815 kg, keupayaan meredah kedalaman air 550 mm, dan jarak kelegaan tanah setinggi 215 mm.
Ciri keselamatan yang dilengkapkan termasuklah empat beg udara, cagak ISOFIX, ABS, EBD, ESP, Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Menurun Cerun, Kawalan Cengkaman, Sistem Pemantauan Titik Buta, serta Roll Movement Intervention, melayakkannya mendapat penarafan lima bintang ANCAP.
Harga jualan bermula dari RM99,888 atas jalan tanpa insurans dan lengkap dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 130,000 km yang mana terdahulu.