Kemudian, Stellantis (syarikat induk gabungan Fiat, Chrysler dan Groupe PSA - Peugeot, Citroen dan DS) dilihat perlahan-lahan meningkatkan pegangan mereka ke atas kilang pemasangan kenderaan sehingga tepat 1 November 2021, kilang Naza Automotive Manufacturing itu lucut status pemilikan tempatan (setelah ia dibina dengan insentif bernilai puluhan juta ringgit di bawah skim bantuan bumiputra) dan kini menjadi milik penuh syarikat automotif barat itu.
Kilang itu dilihat menjadi sebuah pusat R&D Stellantis untuk produk-produk Asean dan negara berhawa panas dan sering kita lihat gambar-gambar kenderaan ujian Stellantis dipandu di sekitar negara - dari Puegeot hinggakan ke Opel!
Penghasilan produk-produk yang sesuai dengan cuaca dan penggunaan Asean juga semakin hebat dilakukan tetapi tahun hadapan, kita akan dapat melihat produk baharu yang bakal membuka mata semua - trak pikap dari Peugeot.
Peugeot lebih dikenali di Asean sebagai jenama kenderaan Eropah yang mewah dan canggih, tetapi dengan harga yang lebih mampu milik dari sesetengah jenama Jepun.
Adakah ini akan menjadikan pikap baharu Peugeot itu lebih mewah dan canggih?
Buat masa sekarang, status trak pikap mewah hanya dipegang oleh Ford dengan Ranger Raptor yang berharga atas RM200,000, sementara Ranger Wildtrak masih menjadi varian paling premium dan paling mahal berbanding dengan pesaingnya.
Kelebihan Ford ialah ia adalah jenama yang sudah membuat trak pikap sejak puluhan tahun lagi dan ia mempunyai produk F150 Raptor yang terkenal di seluruh dunia.
Mercedes-Benz juga cuba untuk membuat satu perubahan dengan menggunakan trak pikap Nissan Navara untuk dijadikan trak pikapnya sendiri.
Sayangnya, Mercedes-Benz X-Class "kantoi" dan jualan global model itu dihentikan secara rasmi tahun lalu. Stigma ia sebenarnya sebuah Nissan nampaknya tidak boleh dilupakan oleh ramai.
Peugeot nampaknya mengambil langkah lebih berani kerana trak pikap Landtrek mereka akan dibina berdasarkan trak pikap jenama China, Changan Kaicene F70!
Di Afrika Selatan, Landtrek dijual dengan enjin 1.9L turbodiesel yang menghasilkan 152PS dan 350Nm dan juga enjin petrol 2.4L turbo dengan 212PS dan 320Nm. Dua konfigurasi ditawarkan, 2X4 dan 4X4. Ia juga bakal dijual di Thailand tahun hadapan.
Mungkin ada yang sangsi tetapi di dalam pasaran "unik" seperti Malaysia, jenama atau kualiti adalah satu isu yang tidak begitu utama kerana sekiranya produk itu cantik dan harganya mampu, secara automatik akan wujud golongan marhaen yang akan memperjuangkan produk itu dan menjadi "die hard fans".
Malaysia adakah satu-satunya negara Asean yang paling mudah untuk menerima jenama-jenama baharu dari China atau dari Eropah. Contoh terbaik ialah Geely, sebuah jenama yang sebenarnya tidak ada pengalaman banyak dalam penghasilan model CKD. Ia mencuba di Filipina dan Rusia tetapi kejayaannya masih kecil berbanding dengan Malaysia.
Di Malaysia, ia terus menjadi jenama yang dipercayai walaupun ia menggunakan kotak transmisi Dual Clutch yang sangat digeruni jika ia digunakan oleh Volkswagen - jenama yang sudah puluhan tahun membuat kenderaan.
Namun begitu, jenama China sudah mula mengorak langkah lebih cemerlang di Thailand dengan MG dan Wuling di Indonesia dan produk-produk mereka lebih ringkas dan tidak terlalu canggih (kecuali MG EV yang diperkenalkan di Thailand).
Produk China sendiri sebenarnya sudah jauh lebih baik dari zaman Chery Eastar mula diperkenalkan di sini. Malah sebenarnya, MPV China itu tidak mempunyai terlalu banyak masalah pun dan ia masih digunakan oleh ramai di Malaysia.
Masalah yang kekal wujud untuk produk China ialah imej. Jika kita panggil si polan itu memandu sebuah kereta Jepun atau kereta Korea atau kereta Jerman, atau kereta Perancis, tidak ada sebarang tanggapan negatif kepada pemandunya tetapi bila disebut si anu memandu kereta China, pemandunya akan terus marah dan menjadi "defensive".
Pemilik Perodua tidak ada masalah untuk ditempelak sebagai pemandu kereta Jepun tetapi cuba anda panggil pemilik Proton X50 itu pemandu kereta China dan anda akan dikecam selama bertahun-tahun sebagai tidak sensitif dan tidak "membantu jenama tempatan".
Kelakar bukan?
Mungkin masalahnya ada pada pemilik itu sendiri yang sebenarnya tidak yakin dengan produk China.
Jadi, adakah Peugeot Landtrek a.k.a Changan Kaicene F70 akan mampu melawan Toyota Hilux, Ford Ranger, Nissan Navara, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max?
Adakah jenama Singa Perancis itu cukup kuat untuk menerima efek yang sama seperti Proton yang menenggelamkan nama Geely?
Atau adakah ia akan duduk sekelompok dengan trak pikap sejuk dari China?
Kongsi pendapat anda di platform media sosial kami!