Untuk pasaran Malaysia, 2 varian akan ditawarkan iaitu T9 Diesel dan T9 EV, menjadikannya sebagai trak pikap elektrik pertama yang dijual di sini.
Kedua-dua varian berkongsi platform, rupa luaran, dimensi, dan ciri keselamatan yang hampir sama dengan perbezaan utama yang terletak pada trenkuasanya.
JAC T9 yang dibina berasaskan platform ladder frame, di mana ia memiliki dimensi 5,330 mm panjang, 1,965 mm lebar dan 1,920 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 3,110 mm.
Ruang kargo pula mempunyai panjang sehingga 1,520 mm, ketinggian 470 mm, dan lebar 1,590 mm yang membolehkan keupayaan mengangkut pelbagai jenis muatan.
Berat kenderaan tanpa muatan dianggarkan sekitar 2,055 kg, manakala kapasiti muatan dan kapasiti penarikan masing-masing ialah 1,000 kg dan 3,500 kg.

Trak pikap ini juga memiliki jarak kelegaan tanah sebanyak 210 mm, dengan keupayaan meredah air sehingga kedalaman 800 mm.
Bakal bersaing dengan nama besar seperti Toyota Hilux dan Ford Ranger Wildtrak, JAC T9 tampil dengan rekaan luaran agresif bersama jeriji besar, lampu hadapan LED berkembar, dan logo JAC yang menonjolkan imej jenama tersebut.
Pada bahagian dalam pula, ciri moden dibawakan melalui kluster instrumen digital bersaiz 7 inci dan skrin infotainmen bersaiz 10.4 inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
Selain itu juga ia turut dilengkapi pengecas telefon pintar tanpa wayar, serta kotak penyimpanan pada konsol tengah hadapan dengan sistem penyaman udara.
Kedua-dua tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan (hanya sebelah pemandu untuk T9 EV) juga mempunyai larasan kuasa empat hala serta fungsi pemanas dengan balutan kulit sama ada dalam warna hitam atau coklat.
Seperti kebanyakan trak pikap, T9 turut memiliki sambungan perkakasan dalam kabin yang merangkumi port USB-A (18W) dan USB-C (60W), serta soket kuasa pelbagai jenis 220 volt (150W).
Dari segi keselamatan, JAC T9 memiliki binaan struktur kukuh merangkumi 48 peratus keluli berkekuatan tinggi serta palang impak sisi yang diperkuat untuk melindungi penumpang sekiranya berlaku kemalangan.
Pakej keselamatan yang lengkap merangkumi tujuh beg udara (termasuk beg udara tengah hadapan), ABS, EBD, bantuan brek, sistem brek override, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, sensor parkir hadapan dan belakang, sistem kamera pandangan 360 darjah, serta sistem pemantauan tekanan tayar.
JAC T9 turut dilengkapi dengan sistem ADAS termaju bagi meningkatkan keselamatan keseluruhan,seperti:
- Autonomous emergency braking
- Lane departure warning
- Lane keep assist
- Emergency lane keeping
- Driver monitoring system
- Blind spot detection
- Rear cross-traffic alert
- Forward collision warning
- Door opening warning
- Traffic jam assist

Masuk kepada perkara yang membezakan antara dua varian T9, T9 diesel menggunakan nadi 2.0 liter empat silinder turbo, dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan ZF dan transfer case 4WD BorgWarner serta sistem kunci differential elektronik, menghasilkan 170 PS dan 410 Nm.
Untuk T9 EV, ia dikuasakan dua motor elektrik, iaitu pada roda hadapan menghasilkan 95 PS dan pada roda belakang menghasilkan 218 PS, menghasilkan gabungan daya kilas sehingga 516 Nm.
JAC T9 EV mampu menghasilkan pecutan 0-100 kmj dalam masa 8.4 saat, namun hanya mampu mencapai kelajuan maksimum 140 kmj sahaja.
Kuasa pada motor elektrik itu disalurkan oleh pek bateri LFP 88 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 340 km berdasarkan kitaran WLTP.
Bateri tersebut mampu menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW yang mengambil masa 6 jam 50 minit untuk dicas dari 15 peratus ke 100 peratus, dan pengecasan pantas DC sehingga 88 kW yang mampu mengecas dari 30 peratus ke 80 peratus dalam masa 35 minit sahaja.
Untuk pasaran Malaysia, harga JAC T9 ditawarkan bermula dari RM119,888 untuk varian diesel, dan RM 199,888 untuk varian EV.
JAC Motors turut menawarkan jaminan sehingga 8 tahun dengan perbatuan tanpa had bagi enjin varian diesel, serta jaminan 6 tahun atau 200,000 km (yang mana terdahulu) untuk bateri varian EV.