Trak pikap elektrik Nissan untuk pasaran China - mampu cecah 403 km sekali cas penuh

oleh Mohamad Hanif|
Sebelum dunia sempat merasai kehadiran trak pikap elektrik yang dinantikan dari Tesla dan juga Rivian, Nissan di China nampaknya mendahului kedua-dua jenama tersebut dengan melancarkan sebuah trak pikap tersendiri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Digelar sebagai Dongfeng Rich 6 EV, ia merupakan hasil kerjasama antara Nissan dan syarikat Dongfeng dan menggunakan platform trak pikap daripada Nissan itu sendiri. 

Jika dibandingkan dengan Nissan Navara, Dongfeng Rich 6 EV sedikit pendek, iaitu kurang 100 mm jarak antara roda berbanding 3,150 mm pada Nissan Navara. 
 


Namun, jika Navara mampu mengangkut beban sehingga 1 tan, Rich 6 EV hanya dihadkan kepada 490 kg sahaja. 

Trak pikap ini didatangkan dengan pek bateri berkapasiti 68 kWh yang mengalirkan kuasa kepada motor elektrik tunggal berkuasa 160 hp dan 420 Nm. 

Menurut Dongfeng, Rich 6 EV ini mampu beroperasi sejauh 403 km mengikut data kitaran NEDC, dan kelajuan maksima dihadkan kepada 110 km/j. 
 


Untuk mengecas, Dongfeng Rich 6 EV ini mampu menyokong sistem pengecasan pantas yang tidak diperincikan, namun mampu mencapai kapasiti 80 peratus dalam masa 45 minit. 

Pasaran China dijangka akan mula menjual trak pikap elektrik ini pada bulan hadapan, dan harganya juga dikatakan sangat murah - 130,000 yuan selepas subsidi (RM77,582). 
 


Dengan kepesatan teknologi yang membangun di tanah besar China itu, tidak mustahil dalam masa terdekat mereka mampu hadir dengan trak pikap elektrik berspesifikasi yang mampu menandingi EV yang ada di pasaran. 

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Kita sedia maklum bahawa rekaan Cybertruck sememangnya sukar untuk dihadam, lebih-lebih lagi…
Gaya Hidup
Bagi merancakkan lagi rangkaian produk Cybertruck, Tesla telah memperkenalkan satu lagi varian yang…
Pelancaran
Dipertontonkan buat pertama kali pada tahun 2019, harga rasmi yang diumumkan 50 peratus lebih…