Tragedi lori dan bas pembunuh - bila akan ada tindakan serius?

oleh HEZERI SAMSURI|
Tragedi kemalangan maut akibat masalah teknikal kenderaan berat seperti bas dan lori bukannya tidak pernah berlaku.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disember 2015, seorang guru maut di Kuantan kerana dilanggar tayar dari lori bauksit yang tercabut dan melantun terkena kereta beliau.

Sebelum itu, tahun 2012 melihat dua pelancong asing maut kerana bas yang dinaiki terbabas ketika turun dari Genting Highlands. Bas tersebut dipercayai mengalami masalah brek.

Mac tahun ini, seorang penunggang motosikal maut apabila beliau melanggar serpihan tayar lori yang meletup di tengah jalan.

Dan minggu lalu, Malaysia digemparkan dengan video tular sebuah lori treler mengalami kejadian tayar meletup, dan mengakibatkan lori itu terbabas masuk ke laluan sebelah dan membunuh sepasang suami isteri.

Di atas hanyalah beberapa contoh dari banyak lagi kejadian yang membabitkan masalah teknikal dari lori dan bas dan ia membabitkan ramai nyawa yang tidak berdosa.

Sayang sekali bila diajukan soalan apakah akan ada tindakan susulan dari Kementerian Pengangkutan, menterinya menjawab bahawa negara dalam perbincangan akhir untuk memperkenalkan polisi jangka hayat kenderaan - satu isu lapuk yang kita semua tahu masih belum boleh diperkenalkan kerana ekosistem yang masih belum bersedia.

Ada di antara kita yang mengatakan bahawa kemalangan akibat lori dan bas masih lagi kecil dari segi skala tahunan kemalangan negara.

Benar, kerana lebih dari 80 peratus kemalangan maut mengakibatkan kenderaan persendirian dan motosikal. Namun begitu, jika dikira nisbah jenis kenderaan di atas jalanraya dengan jumlah kemalangan maut dan jumlah nyawa yang terkorban, kemalangan akibat bas dan lori menyumbang satu jumlah yang serius.

Sebenarnya, saya sendiri kurang pasti apakah masalah utama yang tidak membenarkan pihak kerajaan mengenakan sedikit kawalan kepada kedua jenis kenderaan tersebut.

Ya, saya sangat arif bahawa ramai abang-abang pilot bas dan lori yang sangat berhemah dan saya sangat menyokong profesion mereka. Ramai yang memastikan keselamatan diutamakan dan mereka ini juga yang sentiasa memastikan lori atau bas mereka dalam keadaan paling optimum.

Namun begitu, ada perkara yang memang diluar kawalan mereka dan berada di dalam kawalan syarikat.

Kebanyakan syarikat pengangkutan yang profesional sangat mementingkan keselamatan. Ini kita boleh lihat sendiri dari keadaan bas atau lori mereka - mana yang bersih dan cantik memang mempunyai SOP yang baik tetapi mana yang tak semenggah, kemek sana sini dan sentiasa kotor, ini mungkin syarikat yang dalam kemelut kewangan atau yang hanya tahu untung sahaja.

Kita juga masih ada menggunakan lori-lori lama yang sepatutnya sudah layak masuk ke lombong kerana muzium pun tidak hinginkannya.

Mungkin atas dasar kasihan, maka pihak berkuasa membenarkan kenderaan itu beroperasi.

Mungkin itu juga yang dimaksudkan oleh pihak menteri mengenai polisi jangka hayat kenderaan  - menghalang kenderaan perdagangan yang lama dari beroperasi.

Ada banyak perkara yang saya kira mampu dilakukan oleh agensi kerajaan untuk memastikan industri logistik kita lebih berdaya saing dan lebih profesional. Antaranya ialah:

 

1. Kaji penggunaan tayar celup untuk kenderaan berat

Tayar celup atau retread memang dibenarkan dan ia digunakan oleh industri logistik di seluruh dunia. 

Secara am, tayar celup yang mengikut piawaian Eropah yang diwajibkan untuk penjualan di Malaysia mempunyai kualiti sebaik tayar baharu jika dijaga.

Di Malaysia, kebanyakan lori membawa lebih muatan dan tidak ada kawalan dari segi had jarak pemanduan dan had masa pemanduan.

Tayar akan rosak kerana terlalu panas. 

Adakah cara penjagaan tayar diambil kira oleh pihak syarikat?

 

2. Had masa pemanduan oleh seorang pemandu

Perlu ada had masa untuk seorang pemandu itu memandu kerana pemandu yang dibayar berdasarkan jumlah trip yang dibuat dalam sehari akan memaksa diri mereka bekerja lebih dari sepatutnya.

Perlu ada gaji dasar minima agar gaji pemandu tidak mengikut jumlah trip. Jika seorang jututerbang dibayar gaji mahal kerana membawa puluhan dan ratusan nyawa di dalam kapal terbang mereka, apa bezanya dengan pemandu bas yang membawa puluhan manusia di dalam kenderaan mereka?

Nyawa penumpang bas lebih murah?

 

3. Pemilik syarikat perlu dihukum 

Ini melibatkan penggubalan akta dan kita semua maklum, Kementerian Pengangkutan memerlukan bantuan dalam perubahan akta dan mereka mempunyai masalah untuk menangani teknologi kenderaan yang semakin canggih berbanding dengan akta-akta lapuk yang digunakan.

Selepas siasatan dilakukan, dan sekiranya terbukti kemalangan diakibatkan oleh kesalahan pemandu yang kurang terlatih atau tidak cukup masa rehat, atau dari punca kenderaan yang tidak dijaga rapi, pihak syarikat harus dikenakan denda yang tinggi.

Kes-kes ini juga patut disiarkan oleh media agar menjadi pengajaran untuk syarikat pengangkutan yang lain.

 

4. Latihan minima untuk pemandu

Sukar mendapatkan pemandu menjadi alasan paling popular di kalangan syarikat pengangkutan dan juga syarikat bas.

Pihak industri dan juga kerajaan perlu duduk semeja dan mencari jalan bagaimana ini boleh diatasi.

Sekiranya pihak MITI mempunyai MAI untuk membantu menghasilkan pekerja-pekerja industri yang terlatih, mungkin agensi kerajaan berkaitan boleh menaikan taraf pemandu bas dan lori agar wujud golongan profesional dengan pendapatan yang baik agar boleh digunakan oleh industri logistik dan bas.

Pemandu lori dan bas terlatih juga bakal menjimatkan kos operasi kerana mereka mampu mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan kerosakan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan.

 

5. Penguatkuasaan alat penghad kelajuan pada bas dan lori

Sebenarnya, kebanyakan lori dan bas baharu sudah lengkat dengan penghad kelajuan atau speed limiter, terutama jenama-jenama Eropah.

Namun begitu, ia mudah untuk dicabut atau diprogramkan kembali dan tidak ada pengawasan langsung akan perkara ini.

Agensi kerajaan kelihatan akur dan tunduk kepada permintaan syarikat pengangkutan. 

red light

Contohnya, dalam tahun 90-an, semua kenderaan berat diwajibkan memasang lampu merah di atas bumbung dan lampu itu akan berkelip sekiranya mereka melepasi had kelajuan 90 kmsj.

Selepas menerima kritikan dari pengusaha bas dan lori, undang-undang itu tidak lagi digunakan.

Kemudian, timbul rancangan untuk memasang kotak hitam yang akan merekodkan semua operasi mekanikal sebuah lori atau bas, untuk membantu kajian jika terbabit di dalam kemalangan.

Rancangan itu juga tenggelam dan yang sentiasa timbul, isu cermin gelap dan nombor plet.

Jika pihak JPJ mempunyai pemikiran yang bijak untuk mencari pendapatan lumayan dengan menjual plet pendaftaran kenderaan tanpa mengira kuota negeri, mungkin mereka juga mampu berfikir cara untuk memastikan ada undang-undang yang boleh digunakan untuk mengawal lori-lori dan bas-bas ini.

Kita bukan mahu menghukum semua, tetapi kita mahu menghukum mereka yang bersalah. Dan kita tidak mampu menyelamatkan semua, tetapi kita boleh berusaha untuk menjadi yang lebih baik.

Dan sekiranya Tuan Menteri risau bahawa kenderaan terbengkalai bakal menjadi punca pembiakan nyamuk aedes, Akta Pengangkutan Jalan 1987 di bawah Seksyen 65 membenarkan pihak berkuasa "Memindahkan kenderaan yang rosak dan yang ditinggalkan".

Salam.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, kemalangan membabitkan 12 kenderaan iaitu bas, dua buah lori dan sembilan kereta. "…
Berita Global
Bas Elec City Town sepanjang 9 meter itu mempunyai jarak gerak 220 km dan harganya di Korea Utara…
Informasi
Berhubung isu pelancong dari luar negara yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL…