TPAD Gesa MOT Perjelas Arahan Henti Operasi inDrive dan Maxim

oleh Qalif Latif|
Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang meminta dua penyedia perkhidmatan e-hailing antarabangsa, inDrive dan Maxim, menghentikan operasi mereka di Malaysia menjelang 24 Julai 2025.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Menurut TPAD, langkah ini menimbulkan persoalan besar tentang kesan sosioekonomi terhadap ribuan pemandu serta potensi risiko monopoli dalam pasaran e-hailing tempatan. Presiden TPAD, Nathan Mathivanan, menekankan bahawa walaupun kawal selia adalah penting untuk keselamatan dan keteraturan, keputusan sebegini seharusnya disokong dengan justifikasi yang telus, kajian menyeluruh, dan data yang kukuh.

“Ramai pemandu memilih platform seperti inDrive dan Maxim kerana kadar komisen yang rendah dan struktur yang lebih mesra pemandu. Bagi mereka, ini bukan sahaja pilihan ekonomi terbaik, malah menjadi sumber rezeki utama, khususnya di kawasan luar bandar,” ujar beliau.

TPAD turut memberi amaran bahawa pengurangan pemain dalam pasaran e-hailing boleh mengakibatkan persaingan harga berkurangan, sekaligus mendorong kenaikan tambang dan penurunan kualiti perkhidmatan kepada pengguna. Mereka membandingkan situasi ini dengan negara lain yang sudah pun memperkenalkan struktur tambang yang dikawal kerajaan bagi menjamin keadilan kepada semua pihak.
 

Sehubungan itu, TPAD menggesa:

  1. MOT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tampil memberikan penjelasan lengkap mengenai asas undang-undang dan justifikasi arahan penamatan operasi.

  2. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat kemungkinan wujudnya ketidakseimbangan pasaran atau monopoli akibat tindakan ini.

  3. Ahli Parlimen dan penggubal dasar menyemak kembali landskap industri e-hailing negara secara menyeluruh, dengan fokus kepada kesejahteraan pemandu dan kemampuan rakyat mengakses perkhidmatan.
     

“Isu ini lebih besar daripada sekadar lesen. Ia melibatkan keperluan harian rakyat dan kelangsungan hidup ribuan pemandu,” kata TPAD dalam kenyataannya. Mereka juga menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan demi memastikan pembangunan sektor e-hailing yang adil, inklusif dan lestari di Malaysia.


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Arahan itu dikeluarkan setelah siasatan mendapati kedua-dua platform beroperasi tanpa lesen sah di…
Berita Domestik
Hasil pemantauan dan risikan selama 14 hari mendapati sebuah syarikat EHO yang mengendalikan…