Toyota Yaris GR Sport 2022 - penampilan sedikit agresif, pengendalian lebih baik

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada ahli keluarga baharu Yaris untuk pasaran Eropah - Yaris GR Sport, dan usah tersalah sangka pula dengan model hot hatch sebenar GR Yaris.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana Yaris GR Sport masih lagi mengekalkan bentuk badan hatchback empat pintu yang sama seperti Yaris standard yang lain, akan tetapi ia menampilkan beberapa ciri unik yang mampu membuatkan pembelinya tersenyum lebar (biarpun kekurangan bajet).
 

Yaris


Antara perubahan yang boleh dilihat adalah penampilan rim aloi berbilang jejari bersaiz 18 inci (!) dengan aksen merah, diikuti dengan motif G pada jeriji gril hadapan, lencana wajib GR, diikuti dengan diffuser yang telah direka semula.

Yaris GR Sport turut ditawarkan dalam warna baharu Dynamic Grey.
 

Yaris


Sementara ruang kabin pula menempatkan logo GR pada roda stereng, perehat kepala, butang pandu mula, serta kluster instrumen, diikuti dngan jahitan merah pada roda stereng dan tempat duduk sports balutan fabrik atau ultrasuede.

Rahsia sebenar Yaris GR Sport terletak pada tetapan suspensi yang unik, serta talaan kepada casis yang lebih tegar, di mana unit peredam telah dioptimasikan untuk meningkatkan tahap respons stereng, serta spring belakang ditala semula untuk mengurangkan kesan angkat ketika pecutan dan brek.
 

Yaris


Yaris GR Sport juga turut mendapat pendakap bawah lantai (underfloor braces) pada kedua-dua sisi yang mampu meningkatkan tahap ketegaran serta penambahan liner pada perumah roda untuk mengurangkan kesan seretan.

Akhir sekali, sistem stereng elektronik turut ditala kembali bagi mengurangkan kesan sela masa dan menjadikan ia lebih responsif.
 

Yaris


Untuk pasaran Eropah, Yaris GR Sport boleh didatangkan dengan enjin 1.5 liter VVT-i yang mampu menghasilkan 123 hp dengan padanan transmisi manual iMT, atau enjin hibrid 1.5 liter dengan kuasa gandingan 114 hp dengan kotak gear CVT.

Pecutan 0-100 km/j boleh dibuat dalam masa 9.0 saat dan kelajuan tertinggi 180 km/j, cukup laju untuk sebuah hatchback segmen B.