Toyota Yaris Cross 2024 terima kemas kini di Eropah - Trenkuasa hibrid lebih berkuasa

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Toyota baru-baru ini telah mengumumkan beberapa kemas kini baharu untuk model SUV segmen B mereka bagi pasaran Eropah, iaitu Toyota Yaris Cross 2024.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Antara perubahan yang dibawakan ialah trenkuasa hibrid baharu yang lebih berkuasa, di samping kemas kini pada bahagian dalam dan kelengkapan keselamatan.

Untuk varian dengan trenkuasa hibrid baharu atau namanya Hybrid 130, ia dikuasakan dengan enjin 1.5 liter yang sama namun dipadankan dengan motor elektrik lebih berkuasa bagi menghasilkan kuasa gabungan sehingga 130 HP dan 185 Nm.

 

2

 

Tambahan kuasa itu turut membantu mengurangkan masa pecutan dari 0 - 100 kmj dalam masa 10.7 saat sahaja.

Untuk pasaran Eropah, kadar emisi CO2 menjadi faktor utama yang menerajui jualan, di mana Yaris Cross kekal mendahului segmennya dengan emisi purata antara 103 dan 122 g/km.

Untuk varian dengan trenkuasa hibrid sedia ada iaitu Hybrid 115, ia masih kekal dengan tetapan enjin dan motor yang sama, menghasilkan kuasa sehingga 114 HP dan 141 Nm.

 

3

 

Dari segi luaran, Yaris Cross 2024 masih mengekalkan penampilan yang sama bersama tambahan warna baharu iaitu Juniper Blue.

Versi Premiere Edition didatangkan dengan kemasan rona Urban Khaki yang turut dibawa ke bahagian dalaman, ditambah dengan rim aloi bersaiz 18 inci.

Pembeli juga dapat memilih antara kemasan trim Premiere Edition dan GR Sport yang dipadankan dengan kemas kini trenkuasa Hybrid 130 baharu, di mana ia turut menerima talaan casis yang lebih sporti dari Gazoo Racing.

 

4

 

Pada bahagian dalaman, Yaris Cross 2024 kini dipertingkatkan dengan pilihan skrin instrumen bersaiz 7 atau 12.3 inci, dan skrin infotainment bersaiz 9 atau 10.4 inci bergantung kepada pilihan varian.

Ia turut dilengkapi dengan sistem multimedia Toyota Smart Connect yang dipertingkatkan melalui sokongan kemas kini OTA (over-the-air) dan ciri sambungan Adroid Auto serta Apple CarPlay tanpa wayar.

Bagi meminimumkan bunyi dan getaran untuk meningkatkan keselesaan, Yaris Cross 2024 ditambahkan dengan peredam dinamik pada mounting enjin bahagian kiri, resonator pada hos masuk, penebat tiga lapisan di belakang papan pemuka.

 

5

 

Ia turut didatangkan dengan tambahan kaca yang lebih tebal untuk cermin depan dan tingkap sisi yang bertujuan untuk mengurangkan lagi bunyi dan getaran.

Akhir sekali, Toyota Yaris Cross 2024 turut didatangkan standard untuk semua varian dengan sistem keselamatan Toyota T-Mate yang dipertingkatkan dengan ciri baharu.

Ia kini dilengkapi dengan kamera dan radar baharu yang membantu mengesan jarak lebih jauh dan lebar, bersama penambahan ciri baharu pada sistem ADAS. Antaranya ialah:

  • Pre-Collision System
  • Acceleration Suppression
  • Proactive Driving Assist
  • Safe Exit Assist
  • Rear Seat Reminder System

Info tambahan, Toyota Yaris Cross 2024 akan bersaing secara terus dengan seteru dalam SUV segmen B, antaranya ialah Peugeot 2008, Ford Puma, VW T-Cross, Renault Captur, Skoda Kamiq dan lain-lain.