Antara perubahan yang dimaksudkan bermula dari bampar hadapan di mana perumah lampu kabus kini menjadi semakin besar dan lebar, sementara penawaran lampu LED dan lampu nyalaan siang LED diteruskan untuk model Sport dan Sport Premium (versi asas dapat lampu halogen).

Selain daripada itu, varian Sport dan Sport Premium turut mendapat kemasan hitam berkilat pada perumah cermin sisi, skirt sisi, skirt belakang, gelas kaca akustik, pemasangan penebat bunyi pada bonet dan antena sirip jerung yang khusus untuk model Sport Premium.
Varian aras mula Yaris Ativ mendapat kemasan upholsteri fabrik pada tempat duduk dan panel pintu, serta kemasan urethane pada tombol gear, diikuti gandingan bahan fabrik dan kulit untuk varian pertengahan, dan kulit sintetik pada varian Sport Premium.

Selain itu, varian aras mula juga turut mendapat unit audio asas dengan sokongan Bluetooth, sementara varian Sport dan Sport Premium masing-masing mendapat skrin sentuh bersaiz 6.7 inci dengan sokongan Smart Device Link, Android Auto dan Apple Carplay.
Kemaskini yang paling ketara adalah dari segi keselamatan, di mana varian Sport Premium kini mendapat tambahan ciri keselamatan Sistem Pra-Pelanggaran (PCS, atau Brek Kecemasan Automatik, AEB) serta Amaran Keluar Laluan (LDA) kepada ciri keselamatan sedia ada seperti kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, serta kawalan mula mendaki.

Toyota Yaris Ativ pasaran Thailand datang dengan enjin 3NR-FKE 1.2 liter yang mampu menghasilkan 92 PS dan 109 Nm yang dipadankan dengan transmisi Super CVT-i.
Harga jualan bermula dari 539,000 baht (RM67,621) untuk versi aras mula, sementara versi Sport Premium pula dijual pada harga 674,000 baht (RM84,557).