Toyota Yaris 2024 Eropah, sama tetapi berbeza, pakej Hybrid 130 dengan enjin 3 silinder

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Yaris GR Sport 2024
Toyota Yaris GR Sport 2024
Di Eropah Toyota Yaris diposisikan sebagai kereta untuk pengguna kebanyakan. Sekali pandang, Yaris nampak biasa namun Toyota mengangkatnya dengan cemerlang.

Yaris dijadikan model lumba (GR Yaris Rally1) untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan membantu Toyota menjulang trofi pengeluar dan pemandu 2022.

Satu lagi kehebatan Yaris diserlahkan melalui model berprestasi GR Yaris dua pintu dengan pacuan empat roda dan enjin 1.6 tiga silinder turbo.

Yaris pasaran Eropah dikeluarkan sejak 2020 dan kini tiba masa untuk model kitaran hidup pertengahan diperkenalkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Selain varian sedia ada, Toyota turut memperkenalkan Yaris Premiere Edition yang sarat dengan pelbagai kelengkapan.

Pelanggan di Eropah ditawarkan rangkaian kuasa baharu 130 Hybrid dengan padanan enjin 1.5 liter tiga silinder seperti sebelum ini.

Bezanya, transgandar 130 Hybrid diambil dari rangkaian kuasa hibrid generasi kelima (Gen 5) terbaru Toyota. Sistem itu mempunyai output kuasa dan daya kilas lebih tinggi.

130 Hybrid juga dilengkapi motor-penjana elektrik yang lebih besar dan berkuasa dan penelitian semula pada perisian dan perkakasan unit kawalan kuasa (PCU).

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Hasilnya, output keseluruhan sistem meningkat sebanyak 12 peratus daripada 114 bhp (85kW) kepada 129 bhp (96kW).

Daya kilas juga meningkat dengan motor elektrik MG2 membekalkan 185Nm daripada 141Nm atau bertambah 30 peratus.

Dengan lonjakan tersebut, pecutan sedikit pantas atau jimat setengah saat kepada 9.2 saat apabila pemandu menekan pedal dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j).

Pengenalan Yaris 2024 memberi lebih pilihan kepada pengguna dengan pakej hibrid sebelum ini djenamakan semula sebagai Hybrid 115.

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Yaris Premiere Edition dan GR Sport didatangkan bersama rangkaian kuasa 130 Hybrid sebagai ciri standard.

Dari segi gaya, Yaris Premiere Edition menyerlah dengan warna baharu dua tona Neptune Blue dan bumbung hitam

Bahagian dalam diteruskan dengan tema biru pada sulaman kerusi, garis papan pemuka dan panel pintu.

Selain Neptune Blue, pelanggan diberi pilihan warna badan dua tona Platinum Pearl White dan Silver Metallic. 

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Turut menyerlah pada Yaris Premiere Edition ialah rim 17 inci baharu dengan corak kipas (atau sabit).

Untuk varian lain, Toyota melengkapinya dengan rim baharu dalam warna perak atau kemasan mesin, corak balutan kerusi baharu dan pilihan warna badan Juniper Blue.

Bergantung kepada varian, Yaris dibekalkan skrin meter dalam saiz tujuh atau 12.3 inci dan sembilan atau 10.5 inci untuk paparan media.

Skrin 12.3 inci meriah dengan empat tema iaitu Smart, Casual, Sporty dan Tough.

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Selari dengan trend semasa, sistem arahan suara Hey Toyota boleh mengatur suhu dan sebagainya. Turut canggih ialah kunci digital pintar yang dihubungkan dengan aplikasi MyT.

Sistem itu membolehkan lima pengguna berbeza mengakses kereta dengan telefon pintar atau tanpa kunci fizikal.

Fungsi itu ciri standard pada Premiere Edition dan tambahan kepada fungsi MyT sedia ada seperti penguncian kawalan jauh, aturan suhu dan pengesanan lokasi parkir kereta.

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Dari segi keselamatan, Yaris 2024 dilengkapi kamera dan radar baharu yang boleh mengimbas dengan jarak lebih jauh dan luas.

Naik taraf itu memberi manfaat kepada sistem Pra-Pelanggaran (PCS) yang dapat mengenalpasti risiko pelanggaran berdepan secara lebih berkesan.

Selain pejalan kaki dan penunggang basikal, sistem berupaya mengesan penunggang motosikal yang berada di laluan kereta.

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Sokongan Pengelakan Pelanggaran Persimpangan juga berfungsi dengan lebih baik sebagai contoh pengesanan trafik yang menghampiri pada jarak dua lorong.

Misalnya penunggang basikal dan juga kenderaan yang memotong dari sebelah dalam di persimpangan jalan.

Turut baharu pada sistem Toyota Safety Sense ialah Sekatan Pecutan dan Bantuan Pemanduan Proaktif (PDA).

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Sistem Kawalan Jelajah Boleh Suai (ACC) diteliti semula untuk respon lebih pantas dan beroperasi dengan lebih biasa. 

ACC juga menerima sistem baharu Sokongan Pencegahan Memotong yang menghalang pemandu memotong di lorong salah secara tidak sengaja.

Sistem Nyahpecut Awal/Kawalan Berhubung dengan Isyarat Membelok membantu pemandu kembali ke lorong pemanduan pada kelajuan dan jarak bersesuaian dengan kenderaan lain.

 

Toyota Yaris Premiere Edition 2024

 

Turut dipertingkat sistem Peringatan Penukaran Lorong, Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Bantuan Papan Tanda Jalan Raya.

Lagi kelengkapan seperti Bantuan Nyahpecutan, Bantuan Stereng, Sistem Henti Memandu Kecemasan (EDSS), Bantuan Keluar Selamat (SEA) dan Sistem Peringatan Kerusi Belakang.

Pelanggan di United Kingdom boleh menempah Yaris 2024 pada suku ketiga 2023 dan penghantaran bermula pada awal 2024.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Toyota Yaris GR Sport 2024