Toyota, Waymo jalin kerjasama untuk percepat Teknologi Pemanduan Autonomi

oleh Firdaus Razani|
Dua gergasi industri teknologi dan automotif, Toyota Motor Corporation dan Waymo, subsidiari di bawah Alphabet Inc., mengumumkan hasrat untuk meneroka kerjasama dalam mempercepat pembangunan serta pelaksanaan teknologi pemanduan autonomi.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua syarikat menyatakan matlamat mereka adalah untuk menggabungkan kepakaran masing-masing dalam membangunkan satu platform kenderaan autonomi yang mampu mempertingkat keupayaan serta pengalaman pemilikan kenderaan generasi baharu, khususnya dalam segmen Personally Owned Vehicles (POVs).

“Kami komited untuk mempercepat pembangunan dan penerimaan teknologi bantuan pemandu serta sistem pemanduan automatik untuk kenderaan milikan peribadi,” jelas kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah awal, Waymo dan Toyota akan mengenal pasti ruang kerjasama yang merangkumi pembangunan platform bersama, integrasi teknologi perisian dan perkakasan, serta potensi peluasan skop projek pada masa hadapan. Inisiatif ini turut melibatkan Woven by Toyota – cabang teknologi autonomi Toyota – sebagai rakan strategik utama.

Woven by Toyota kini sedang membangunkan platform perisian automotif dikenali sebagai Arene serta projek pembangunan berskala besar yang dinamakan Woven City, sebuah bandar pintar eksperimental di Wilayah Shizuoka yang ditumpukan kepada sistem mobiliti masa depan dan ujian teknologi automotif.

Dalam perkembangan berkaitan, Waymo turut memulakan pengumpulan data di Tokyo pada awal bulan ini menerusi siri ujian pemanduan oleh manusia untuk memetakan infrastruktur bandar, mengenal pasti corak trafik dan memahami cabaran pemanduan di ibu kota Jepun itu.

Kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha global mempercepatkan evolusi mobiliti autonomi yang selamat, boleh dipercayai dan inklusif, selari dengan aspirasi industri automotif masa depan yang semakin berasaskan perisian dan data.

 

SUMBER : NikkeiAsia

Berita Berkenaan

Berita Global
Satu video menunjukkan kenderaan yang berada di tempat letak kereta yang sama dan hanya membunyikan…
Berita Global
Ia berikutan dua kenderaan pandu sendiri mereka telah melanggar trak tunda yang sama selang…
Berita Global
Kerjasama ini bakal menyaksikan kepakaran Waymo dalam pembangunan perisian 'pemandu' yang…