Toyota, VW ketinggalan enam tahun di belakang Tesla!

oleh Mohamad Hanif|
Toyota dan Volkswagen masing-masing merupakan syarikat pengeluar automotif terbesar di dunia, dengan purata pengeluaran sekitar 10 juta unit setahun.

Secara perbandingan, syarikat EV Tesla hanya menghasilkan kira-kira 367,500 unit kenderaan pada tahun 2019, satu angka yang sangat kecil jika dibandingkan dengan Toyota dan Volkswagen. 

Namun, dari segi pencapaian teknologi, percayakah anda Tesla sebenarnya jauh menandingi dua syarikat global itu tadi? 

Satu bedah siasat dilakukan oleh pasukan Nikkei terhadap model paling mampu milik Tesla Model 3 mendapati modul unit pusat kawalan bersepadu (atau Hardware 3) sebenarnya mampu menjadi senjata pembunuh utama yang menjadi ancaman kepada rantaian bekalan global. 
 


Seorang jurutera dari syarikat utama Jepun mengaku kalah, "kami tidak dapat melakukan perkara sebegini" merujuk  kepada sistem Hardware 3 itu tadi. 

Modul tersebut diperkenalkan pada Model 3, Model S dan Model X merangkumi dua cip AI kustom bersaiz 260 mm persegi yang dibangunkan sendiri oleh Tesla, termasuklah perisian bagi menjalankan operasi yang diperlukan.

Ia merupakan komputer utama yang mengawal sistem pemanduan autonomi yang ada pada Tesla, serta sistem infotainmen yang tersendiri merupakan kunci kepada sistem kenderaan swapandu pada masa akan datang. 

Para pakar industri turut berpendapat, teknologi sebegini sepatutnya muncul seawal tahun 2025, bermakna Tesla sudah pun mengalahkan seterunya enam tahun lebih awal!
 


Ini bermakna, Toyota dan Volkswagen sebenarnya sudah pun mampu untuk menghasilkan perkara yang serupa seperti Tesla, memandangkan kedua-dua syarikat itu memiliki sumber kewangan yang cukup besar. 

Namun, halangan teknologi bukanlah sebab utama kenapa jurutera Jepun mengangkat bendera putih lebih awal. 

Antara sebab utama adalah sistem yang ada pada Tesla mampu meletakkan noktah kepada sistem rantaian bekalan sedia ada. 

Sistem Tesla yang lebih ringkas ini sebenarnya banyak mengurangkan kebergantungan terhadap unit ECU di dalam kenderaan, jadi bagi pengeluar yang bergantung harap kepada komponen ini, ia merupakan satu perkara yang menentukan antara hidup dan mati. 

 


Jadi, kebanyakan pengeluar automotif utama lebih 'senang' untuk terus menggunakan sistem yang serba kompleks dengan pelbagai jenis ECU disumbatkan ke dalam kenderaan, demi memastikan rantaian bekalan sumber terus berjalan. 

Syarikat muda seperti Tesla pula tidak perlu bergantung harap kepada pembekal, dan bebas untuk menentukan dan mendapatkan teknologi yang terbaik. 

Satu perkara yang menarik ada pada Tesla adalah kebanyakan komponennya tidak membawakan jenama-jenama pembekal besar dunia, akan tetapi dibina sendiri oleh Tesla termasuklah bahan di dalam ECU. 

Ini mencadangkan bahawa Tesla sejak dari awal memiliki kawalan yang ketat terhadap pembangunan kesemua teknologi yang ada pada kenderaannya.

 


Jadi, tatkala kenderaan masa kini masih diklasifikasikan sebagai Level 2 Autonomy, Elon Musk pula tanpa segan silu menyatakan mereka kini mempunyai komponen yang selengkapnya untuk menjadikan kereta mereka 'bebas pemandu' pada masa terdekat.

Mahu atau tidak, pesaing-pesaingnya perlu mengubah strategi, atau selamanya ketinggalan di belakang Tesla. 

Sumber: Asian Nikkei Review

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Informasi
  1. Elon Musk dilahirkan pada 28 Jun 1971 di Pretoria, Afrika Selatan. Ayahnya adalah warga…
Berita Global
Mujur juga ada beberapa pengeluar yang sanggup bertukar bidang dengan menceburi industri pembuatan…
Berita Global
Tesla mengumumkan penutupan sementara itu di dalam laman web rasmi syarikat itu. Sebelum itu Tesla…