TOYOTA VIOS 2021 BARU PERKENAL SISTEM SAFETY SENSE SERENDAH RM 74,623

oleh Penyumbang Rencana 2|
SELEPAS dipromosikan secara teaser di laman Facebook, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasminya melancarkan model Toyota Vios terbaru untuk pasaran tempatan bermula malam ini.

Model Vios terbaru yang mendapat sambutan hangat sejak diperkenalkan pada 2019 ini dikeluarkan dengan ciri-ciri baru diperkemas dan diberi penambahan  kosmetik termasuk  aspek keselamatan yang dipertingkatkan dengan penawaran Toyota Safety Sense bagi mengurangkan kadar kemalangan dengan pemasangan Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dan Amaran Penukaran Lorong(LDA) yang boleh dinyahaktif sekiranya tidak diperlukan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sama seperti model sebelumnya, untuk Vios terbaru ini tiga varian ditawarkan bagi model 1.5G, 1.5E dan 1.5J, dengan semuanya dikuasakan oleh enjin Toyota 1.5 liter bertransmisi CVT tujuh kelajuan.

Untuk memperbaharui rekaan, Toyota telah meningkatkan lagi penampilan visualnya dengan rekaan bampar baru yang lebih menonjol yang menampakkan kereta lebih lebar. 

Vios menerima wajah hadapan yang direka semula sepenuhnya, menampilkan gril yang lebih menyerlah dengan kepingan melintang, lampu utama reflektor LED tiga-bezel yang lebih nipis dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L serta lampu kabus bulat dengan dalaman menegak berwarna hitam serta lip hadapan dengan dua tona.

Model baru ini juga kini tampil dengan rekaan yang menjurus kepada imej lebih sporty dilengkapi rim aloi dalam saiz yang berbeza bergantung kepada varian.
 

paparan panel


Bahagian dalaman pula kekal dengan imej elegan, menampilkan paparan meter Optitron untuk semua varian kecuali1.5J dan penggunaan meter ini adalah yang pertama kali digunakan pada model-model Lexus dengan teknologi pencahayaan yang canggih dengan paparan lebih jelas dan tajam dalam semua keadaan.

Panel instrument pula terdiri daripada paparan multi maklumat (MID) dengan warna penuh dalam saiz 4.2 inci menggunakan skrin TFT (Thin Film Transistor).

Kemasan balutan kulit disediakan bagi beberapa varian, menjadikan kabin lebih premium. Tidak ketinggalan ialah stereng dan tombol gear balutan kulit, dengan kawasan sekitar panel instrument digelapkan untuk penampilan yang lebih elegan. Bagi varian dengan kemasan balutan fabrik, corak baru digunakan untuk membangkitkan visual kasual dan elegan yang sama.

Teknologi sambungan juga kini lebih baik dengan naik taraf paparan sistem audio 7 inci dengan disertakan sekali kesediaan sambungan Apple Car Play & Android  Auto (AACP). 
 

menarik sekali

I
a membolehkan aplikasi daripada kebanyakan telefon termasuk aplikasi popular seperti Waze, Spotify, Google Maps dan aplikasi lain dipancarkan ke sistem audio berkenaan dan boleh dicapai melalui paparan yang ada. 

Sistem Telematik Kenderaan (VTS) untuk Vios juga kecuali untuk varian1.5J. Sistem ini menggunakan GPS/GSM untuk menjejak lokasi kenderaan pada setiap masa sekiranya ia dicuri dan membolehkan pihak polis mengesan dengan pantas selain meninjau dan merekodkan laju serta keadaan operasi kenderaan dengan data dikirimkan melalui emel kepada pengguna.

Dengan gaya hidup aktif masa kini dimana pengguna selalu membawa telefon dan peranti teknologi lainnya, ruang barangan turut disediakan di banyak bahagian dalam kabin untuk penumpang depan dan belakang. 

Selain ruang konsol tengah di antara kerusi depan, turut tersedia ialah poket luas pada panel pintu yang boleh memuatkan botol air serta ruang cawan dengan pencahayaan LED di dalamnya yang menyuntik elemen elegan tersendiri.

Untuk mengecas semula peranti elektronik, tersedia dua slot USB2.1A dan pengecas tanpa wayar, namum soket12V juga masih tersedia untuk kegunaan peranti elektronik lain atau sebagai sumber mengecas tambahan.
Lain- lain ciri tambahan pada model Vios adalah sistem isyarat henti kecemasan (ESS) yang akan diaktifkan ketika berlaku brek kecemasan, selain sistem peringatan tali keledar belakang  untuk memastikan penumpang belakang mematuhi pemakaiannya. 

Ciri keselamatan standard termasuk tujuh beg udara SRS dan kawalan kestabilan kenderaan (VSC), selain semua varian didatangkan dengan ABS dan agihan daya brek elektronik (EBD) serta bantuan brek (BA). 
 

paparan lampu yang menarik dan terang


Aerokit pula ditawarkan sebagai pilihan, menambah penggayaan pada kereta dengan bampar depan rekaan baru untuk tampil berbeza. Dengan perakam video digital (DVR) depan dipasangkan secara standard untuk semua varian kecuali1.5J.

Dengan struktur badan yang kukuh dan menyerap tenaga, Vios terbaru ini menerima penarafan maksimum lima bintang oleh ASEAN NCAP. 

Model 1.5J boleh didapati pada harga pasaran RM74,623, model 1.5E pada harga RM82,593 manakala model 1.5G pula dijual pada harga pasaran RM87,584 dan  Vios ini boleh didekati, diuji dan dibeli dari semua bilik pameran pengedar Toyota di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota di nombor 1-800-8-TOYOTA (869682).


Artikel Oleh Hamimah Hamid & Mohd UmzarulFaiz Umar