Toyota Tundra 2026, pikap saiz penuh dengan TRD Pro yang sporti

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Tundra TRD Pro - Wave Maker
Toyota Tundra TRD Pro - Wave Maker
Toyota memperkenalkan Tundra 2026 dengan pelbagai kemas kini dan penambahbaikan bagi mempertingkatkan gaya dan pengalaman pemanduan.

Untuk makluman, Tundra merupakan pikap saiz penuh yang bersaing dengan Ford F-150, Ram 1500, dan Nissan Titan di Amerika Syarikat.

Pembaharuan model 2026 merangkumi kemasan dalaman yang lebih mewah, pilihan tempat duduk ISO Dynamic, pemijak kuasa, rim 20 inci, tangki bahan api dan beberapa lagi.

Semua model turut dilengkapi pakej keselamatan Toyota Safety Sense 2.5. 

Pembaharuan Dalaman

 

Toyota Tundra Capstone 2026

 

Bagi model tahun 2026, Tundra Capstone menampilkan ruang dalaman dengan tempat duduk berbalut kulit Tekstur Premium Shale.

Tundra Limited pula menggunakan tempat duduk berbalut kulit dalam warna hitam dan kelabu.

Rekaan baharu ini menampilkan permukaan tempat duduk kulit hitam dengan jahitan putih, manakala permukaan tempat duduk kulit kelabu dihiasi dengan jahitan hitam.

Tundra double cab dilengkapi corong udara pada konsol tengah belakang.

Semua varian yang dilengkapi dengan kawalan iklim zon tunggal pula akan menerima sistem pengurusan aliran pintar (smartflow).

Toyota Audio Multimedia

Tundra generasi ketiga dilengkapi sistem Toyota Audio Multimedia yang dibangunkan bahagian Connected Technologies Toyota.

Antara Muka Mesin Manusia (HMI) ini membolehkan interaksi melalui penglihatan, sentuhan dan suara.

Sistem ini didatangkan dengan skrin sentuh standard 8 inci atau pilihan 14 inci dan fungsi sentuhan responsif seperti picit dan zum serta tombol fizikal untuk kawalan audio.

Pengguna juga boleh berinteraksi dengan pembantu suara melalui frasa seperti “Hey Toyota” atau “OK Toyota”.

 

 Toyota Tundra TRD Pro Wave Maker 2026

 

Pakej dan Ciri Pilihan

Untuk peminat off-road, model TRD Pro boleh ditempah dengan pilihan tempat duduk ISO Dynamic seperti yang terdapat pada Tacoma TRD Pro.

Papan pemijak kuasa turut ditawarkan dan dijadikan pilihan pada varian Platinum dan 1794 TRD Off-Road Package. Selain itu, Pakej SX dilengkapi rim 20 inci.

Kapasiti Tangki dan Ciri Standard

Semua model Tundra 2026 dilengkapi tangki bahan api lebih besar dengan kapasiti 121.9 liter (32.2 gelen).

Cangkuk penarik (tow hitch) dan penyambung 7/4 pin juga ciri standard pada semua model termasuk SR.

Warna TRD Pro Eksklusif

Bagi model tahun 2026, warna Wave Maker yang baharu diperkenalkan secara eksklusif untuk varian TRD Pro.

Pilihan Prestasi Enjin

Tundra 2026 menawarkan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu i-FORCE 3.4 liter V6 turbo berkembar dan i-FORCE MAX 3.4 liter hibrid V6 turbo berkembar.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan ECTi (Electronically Controlled automatic Transmission with intelligence) 10-kelajuan.

Transmisi ini mempunyai mod Sequential Shift, logik penukaran (shift logic) mendaki/menurun bukit dan mod pemanduan TOW/HAUL.

Enjin i-FORCE, V6 turbo berkembar menggunakan sistem Dual VVTi dan menghasilkan 389 kuasa kuda (hp) dan 649Nm tork.

 

Toyota Tundra TRD Pro Wave Maker 2026

 

Sementara itu, rangkaian kuasa hibrid i-FORCE MAX menghasilkan gabungan kuasa bersih 437 hp pada 5,200 rpm dan tork 790Nm pada 2,400 rpm.

i-FORCE MAX menggabungkan enjin V6 turbo berkembar dengan penjana motor dan klac yang terletak di antara enjin dan transmisi automatik 10-kelajuan.

Penjana motor menyediakan kuasa tambahan melalui transmisi.

Fungsi seperti penghidupan enjin, pemanduan EV, bantuan elektrik dan penjanaan semula tenaga pula melalui komponen hibrid.

Ciri Off-Road

Tundra TRD Pro dan trak yang memiliki pakej TRD Off-Road dilengkapi pelbagai ciri off-road.

Sistem Multi-Terrain Select menawarkan tetapan boleh laras untuk membantu mengawal putaran roda pada pelbagai jenis permukaan.

Crawl Control berfungsi sebagai kawalan jelajah off-road kelajuan rendah yang membolehkan pemandu menumpukan perhatian pada stereng.

Pada masa yang sama sistem mengekalkan salah satu daripada lima kelajuan yang boleh dipilih.

Bantuan Kawalan Penurunan Curam membantu pemandu mengemudi cerun yang mencabar dengan menghadkan kelajuan kenderaan semasa menuruni bukit.

TRD Pro dan Tundra dengan pakej TRD Off-Road turut memiliki pengunci pembeza belakang elektronik untuk cengkaman tambahan dalam mod 4WD Low.

Multi-Terrain Monitor yang juga standard pada TRD Pro dan model dengan Pakej TRD Off-Road, membolehkan pemandu memeriksa persekitaran terdekat untuk halangan.

Dengan menekan butang pada konsol, pandangan kamera depan, belakang dan sisi akan dipaparkan pada skrin tengah.

Casis dan Ketegaran

 

 Toyota Tundra TRD Pro Wave Maker 2026

 

Keluli berkekuatan tinggi digunakan pada casis Tundra untuk membantu meningkatkan ketegaran.

Aluminium pula digunakan pada bahagian penting untuk membantu mengurangkan berat.

Anggota silang (cross member) depan digunakan untuk stereng yang menambah ketegaran dan meningkatkan input stereng serta dinamik pengendalian.

Untuk gred Limited dan ke atas, kabin dipasang pada rangka dengan cagak hidraulik untuk meningkatkan keselesaan perjalanan.

Bahagian kargo Tundra ringan dan kuat hasil penggunaan Sheet-Molded Composite (SMC) dan anggota silang pengukuh aluminium.

Kargo SMC ini menawarkan perlindungan tambahan terhadap lekuk, kesan hentakan dan karat berbanding dek keluli tradisional.

Semua Tundra dilengkapi pintu belakang pelepasan berkuasa atau pilihan pintu belakang tutup berkuasa dengan bantuan angkat (lift assist).

TSS 2.5 Standard

 

Toyota Tundra TRD Pro Wave Maker 2026

 

Semua model Tundra dilengkapi Toyota Safety Sense 2.5 dan merangkumi:

  • Sistem Pra-Pelanggaran dengan Pengesanan Pejalan Kaki
  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik Julat Kelajuan Penuh (DRCC)
  • Amaran Tersasar Lorong dengan Bantuan Stereng (LDA w/ SA)
  • Bantuan Penjejakan Lorong (LTA)
  • Bantuan Isyarat Jalan (RSA)
  • Lampu Puncak Automatik (AHB)

Ciri-ciri kemudahan lain seperti Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) turut ditawarkan sebagai pilihan.

Bantuan Parkir Depan dan Belakang dengan Brek Automatik (pilihan) direka untuk mengaktifkan kawalan brek apabila terdapat kemungkinan perlanggaran dengan objek pegun.

Semua model Tundra juga dilengkapi fungsi Peringatan Tempat Duduk Belakang Toyota.

Ciri ini direka untuk mengesan sama ada pintu belakang dibuka dalam masa 10 minit selepas kenderaan dihidupkan atau pada bila-bila masa selepas kenderaan dihidupkan.

Setelah dikesan, ia akan memaparkan mesej peringatan di kluster instrumen selepas enjin dimatikan disertai dengan bunyi amaran.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Lagi ciri-ciri khas seperti kemasan sisi pintu krom, pemegang pintu belakang dan bingkai…
Berita Global
  Ini adalah kali pertama di dunia Toyota bekerjasama dengan syarikat pihak ketiga untuk projek…
Berita Global
Pada masa tersebut, Toyota masih belum dapat mencari cara untuk menyelesaikan masalah yang dialami…