Toyota terus jaga legasi lama, hasilkan semula dashboard baru Supra A80

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Dalam dunia automotif yang semakin ke arah elektrifikasi, Toyota nampaknya masih tak lupa akar asal, terutamanya model klasik yang ada nilai sentimental tinggi.

Melalui inisiatif GR Heritage Parts yang bermula sejak 2019, pengeluar gergasi Jepun itu telah menghasilkan semula lebih 300 komponen untuk lapan model klasik, termasuk model ikon seperti Toyota 2000GT dan Toyota Land Cruiser 40.

Salah satu model yang terus diberi perhatian ialah Toyota Supra A80, Supra generasi keempat yang kini sudah berusia lebih 30 tahun. 

 

2

 

Terbaharu, Toyota mengumumkan mereka akan mula menawarkan dashboard baharu untuk model itu, memberikan nafas segar kepada kabin yang mungkin sudah dimamah usia.

Menariknya, walaupun menggunakan teknik pembuatan moden dan material terkini, panel dashboard ini masih mengekalkan tekstur dan orientasi asal seperti model asli. 

Bagi sesetengah orang itu mungkin perkara biasa, tetapi penting untuk peminat yang mahukan restorasi autentik tanpa mengorbankan rasa klasik.

 

3

 

Langkah itu dibuat kerana dashboard lama biasanya terdedah kepada kerosakan seperti retak, mengecut atau pecah akibat pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari.

Dashboard baharu itu bukan satu-satunya komponen yang dihidupkan semula, sebelum ini Toyota turut menawarkan semula beberapa bahagian penting untuk Supra A80 seperti housing meter, bampar depan, lampu utama, dan juga komponen suspensi seperti control arm. 

Malah, untuk model klasik lain seperti Toyota AE86, Toyota turut menghasilkan semula komponen enjin penting iaitu block dan cylinder head.

 

4

 

Menurut Toyota, dashboard baharu itu dijangka mula tersedia sekitar penghujung tahun ini, dan akan dipamerkan di acara Automobile Council yang bermula pada 10 April.

Bagi peminat, ia bukan sekadar alat ganti, ia adalah bukti bahawa walaupun dunia bergerak ke depan, ada jenama yang masih sanggup menoleh ke belakang demi memastikan legenda seperti Supra A80 terus hidup, bukan sekadar di muzium, tapi di jalan raya.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Idea Yang Bermula 30 Tahun Lalu     Menurut Toyota, idea pembinaan Shimoyama sebenarnya sudah…
Berita Global
  Pada Mac, media Jepun melaporkan Toyota akan mengurangkan pengeluaran kenderaan bagi pasaran…
Berita Global
Peningkatan Spesifikasi dan Ciri Standard Yaris Cross Bagi model Yaris Cross, Toyota memberikan…