Toyota Tayang Kereta Lumba Hidrogen Cecair Pertama di Le Mans

oleh Qalif Latif|
TOYOTA GAZOO Racing (TGR) secara rasmi memperkenalkan GR LH2 Racing Concept, sebuah kereta ujian yang menggunakan bahan api hidrogen cecair (LH2), dalam usaha meneroka potensi teknologi hidrogen dalam dunia sukan permotoran. Model konsep ini ditayangkan kepada umum di Litar de la Sarthe, di kawasan H2 Village yang dianjurkan oleh Automobile Club de l’Ouest, sempena perlumbaan Le Mans 24 Jam edisi ke-93 (11–15 Jun).

Sebagai sebahagian daripada usaha TGR untuk membina kereta yang lebih baik bermula dari dunia perlumbaan dan dalam misi menuju masyarakat karbon neutral, Toyota terus memajukan teknologinya dalam persekitaran perlumbaan yang mencabar seperti Super Taikyu Series di Jepun. Toyota juga mempergiat usaha memperluaskan pengeluaran, pengangkutan, dan penggunaan hidrogen bersama rakan kongsi dari dalam dan luar industri.

Toyota mula menguji enjin berasaskan hidrogen menerusi penyertaan pasukan Rookie Racing dalam siri Super Taikyu menggunakan model Corolla enjin hidrogen, yang asalnya menggunakan hidrogen gas pada tahun 2021, sebelum beralih kepada hidrogen cecair pada tahun 2023. Potensi enjin hidrogen juga dipamerkan dalam arena rali apabila GR Yaris H2 menjalani pusingan demonstrasi di Rali Ypres 2022, sebahagian daripada kejohanan dunia FIA World Rally Championship.

Toyota

Pada tahun 2023, Toyota melakukan pusingan demonstrasi dengan Corolla enjin hidrogen di Litar de la Sarthe, manakala model GR H2 Racing Concept turut diperkenalkan sebagai bayangan kategori hidrogen masa depan di Le Mans. Selepas itu, pembangunan teknologi ini dipertingkatkan sehingga membawa kepada kemunculan GR LH2 Racing Concept — model hidrogen cecair yang diasaskan daripada jentera GR010 HYBRID Hypercar, yang kini bersaing dalam kejohanan FIA World Endurance Championship (WEC). Ujian litar akan datang akan menjadi platform untuk memperkukuh teknologi serta infrastruktur hidrogen Toyota, di samping membina jaringan kerjasama bagi memperluaskan lagi potensi bahan api hidrogen menerusi cabaran dunia perlumbaan.

Toyota

Sambutan 40 tahun penyertaan Toyota di Le Mans

Pengumuman GR LH2 Racing Concept ini juga menjadi simbolik kepada ulang tahun ke-40 penyertaan pertama Toyota di Le Mans, melengkapkan penghormatan terhadap masa lalu, masa kini, dan masa depan TGR. Kereta #7 GR010 HYBRID, dipandu oleh Mike Conway, Kamui Kobayashi dan Nyck de Vries, menampilkan livery merah putih sebagai penghargaan kepada model ikonik TS020 yang berlumba pada tahun 1998.

Sementara itu, kereta #8 GR010 HYBRID, yang dipandu oleh Sébastien Buemi, Brendon Hartley dan Ryo Hirakawa, mewakili semangat semasa pasukan untuk menang. Ia hadir dengan livery hitam matte berasaskan logo GR, mencerminkan semangat "benci untuk kalah" dan semangat "Prototype" iaitu membina kereta sukan sebenar yang terus berevolusi ke arah lebih baik.

Berita Berkenaan

Berita Global
Idea Yang Bermula 30 Tahun Lalu     Menurut Toyota, idea pembinaan Shimoyama sebenarnya sudah…
Berita Global
  Pada Mac, media Jepun melaporkan Toyota akan mengurangkan pengeluaran kenderaan bagi pasaran…
Berita Global
Melalui inisiatif GR Heritage Parts yang bermula sejak 2019, pengeluar gergasi Jepun itu telah…