
Projek ini dikenali sebagai X-Runner Concept dan diubah suai daripada Tacoma 2024.
Selain mengingatkan kepada era street truck pada awal 2000, pikap ini juga menunjukkan pelbagai potensi platform TGNA-F.
X-Runner Concept digerakkan enjin i-FORCE 3.4 liter V6 turbo berkembar yang menghamburkan 421 kuasa kuda (hp) dan tork 649Nm.
Rasuk gandar (solid axle) Tundra dengan pacuan akhir 4.30:1 dipasang dan pengunci kebezaan (locking differential) elektronik membahagi daya kilas pada roda belakang.

Muncung ekzos dipindah dari bampar belakang ke bawah alang sisi.
Seperkara menarik ialah ubah suai enjin akan ditawarkan pada 2024 bermula dengan Tundra baharu dan sebahagian daripada naik taraf TRD Performance Package.
Selari dengan ubah suai casis dan enjin, lebar trek pikap bertambah tiga inci dan rangka turut diperkukuh.
Badan Tacoma garang dengan kit dari depan hingga belakang dan mempunyai fungsi tersendiri sebagai contoh penyejukan brek depan.

Liang pada tukup menyalurkan udara pada ruang enjin. Lampu depan projektor LED Tacoma XB memaparkan perkataan X-Runner.
Tema jalanan sejati dibantu suspensi udara Tundra untuk mendapatkan badan serendah mungkin dan pada masa yang sama membawa muatan.
Lengan atas dan bawah bahagian depan dipanjangkan supaya sepadan dengan geometri suspensi Tundra.
Lengan atas dan bawah belakang juga sama untuk dipasang pada perumah gandar, aci gandar dan galas Tundra dan menyamai lebar dan kekuatan bahagian depan.

Bagi meningkatkan lagi dinamika pemanduan, pegas gegelung lebih tegar digunakan dan dipadan bersama penyerap hentak Bilstein® dengan takungan asing.
Rim asal ditukar kepada set gentian karbon dan aluminium tempa dari Lacks Enterprises® saiz 21 x 9.5 inci dengan tayar Michelin Sport saiz 285/45.
Badan pikap disembur warna Speedway Blue dan sebagai penghormatan kepada X-Runner biru yang pertama kali diperkenalkan pada Pameran Kenderaan Chicago 2004.
Bahagian dalam kekal membawa imej Tacoma dan diserikan dengan riasan X-Runner.

Penulis: Muhammad Md Tajudin