Setelah empat tahun, Toyota Sienta kini memasuki fasa kitaran pertengahan jangka hayat sesebuah model dan Toyota telah mengemas kini bagi memastikan Sienta sebuah MPV yang masih relevan.
Dari segi luaran, tidak begitu banyak perbezaan yang dibawakan, melainkan perubahan kecil yang dibuat pada bahagian bampar hadapan, di mana ia kini menampilkan warna badan pada bar yang memisahkan antara ruang kemasukan udara bawah dan juga gril.
Tidak seperti Sienta JDM di mana kemas kini yang dibawakan boleh dilihat dengan sekali imbas sahaja.
Selain daripada perubahan kecil pada bumper hadapan, secara keseluruhannya apa yang dibawakan pada Toyota Sienta facelift ini adalah sama seperti model terdahulu, termasuklah rekaan rim dua tona dan juga papan pemuka.
Namun, Toyota lebih mementingkan penambahan aksesori seperti alat perakam pemanduan depan dan belakang, sistem kamera 360 darjah, slot pengecasan untuk penumpang belakang dan sistem infotainmen skrin sentuh yang dilengkapi dengan T-Link.
Secara asasnya, peralatan standard yang didatangkan termasuklah lampu Bi-LED, lampu nyalaan siang LED, cermin sisi berkuasa elektrik, dua pintu gelongsor, paparan meter Optitron dan kehadiran skrin 8.0 inci untuk penumpang belakang
Ciri keselamatan pula merangkumi tiga beg udara, ABS, EBD, BA, Kawalan Kestabilan Kenderaan, serta bantuan mula mendaki.
Tiada sebarang perubahan dilakukan pada unit enjin 2NR-FE 1.5 liter yang mampu menyalurkan 108 kuasa kuda kepada roda menerusi transmisi CVT.
Harga jualan pula sedikit meningkat, bermula dari 765,000 baht (RM103 ribu) untuk varian G sehinggalah kepada 875,000 baht (RM118 ribu) untuk varian V, masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 15,000 Baht dan 10,000 Baht.