Toyota siar gambar acah Innova 2023 - guna platform baharu, pacuan roda depan?

oleh Mohamad Hanif|
Toyota baru-baru ini menyiarkan sekeping gambar acah yang memperlihatkan kelibat model generasi baharu Innova 2023 yang akan dilancarkan kelak.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Daripada sekeping gambar tersebut, beberapa andaian boleh dibuat, terutama dari segi penampilan dan juga platform yang bakal menjadi tulang belakang Innova 2023.

Rekaan depan Innova baharu itu banyak mengambil rujukan daripada model-model SUV dan crossover moden Toyota, dengan rekaan jeriji heksagon dan unit lampu utama LED yang lebih tajam beserta lampu nyalaan siang DRL yang direka semula.

Selain itu, dimensi hud hadapan Innova 2023 yang nampaknya lebih pendek mencadangkan Toyota telah menggunakan platform serba baharu dengan rekaan badan unibodi dan pacuan roda depan (FWD) bagi menggantikan platform ladder-frame dan sistem pacuan roda belakang (RWD) pada model terdahulu, sama seperti apa yang dibuat pada model Avanza/Veloz.

Terdapat kelibat aksen berwarna biru pada bahagian jeriji hadapan yang memberikan petanda kehadiran trenkuasa hibrid untuk MPV tiga baris tempat duduk itu.

Toyota tidak mendedahkan secara rasmi tarikh pelancaran sebenar Toyota Innova 2023, namun kemungkinan besar ia bakal berlangsung pada bulan November ini.