Toyota sah produksi hot hatch Corolla GRMN dalam perancangan

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Di Eropah, Toyota Corolla baharu sahaja mendarat dengan rasminya dan didatangkan dengan tiga variasi bentuk badan, sedan, hatchback dan juga wagon. 

Manakala nadi kuasa pula didatangkan dalam empat pilihan, terdiri daripada 

  • enjin hibrid 1.8 liter 2ZR-FXE (122 PS/142 Nm)
  • enjin hibrid 2.0 liter M20A-FXS (180 PS/190 Nm)
  • enjin 1.2 liter turbo 8NR-FTS (114 PS/185 Nm)
  • enjin 1.6 liter NA (132 PS/159 Nm)

Tidak seperti enjin hibrid dan turbo yang terdapat pada versi hatchback dan wagon, enjin aspirasi natural itu hanya dikhaskan kepada versi sedan sahaja. 
 


Bagi mereka yang mahukan sebuah hot hatch Corolla, anda boleh mula menyimpan duit kerana berdasarkan laporan daripada AutoRai, Toyota kini sedang merancang untuk menghasilkan Toyota Corolla GRMN. 

Namun, menurut penolong ketua unit rekaan Toshio Kanei berkata, Toyota Corolla GRMN ini tidak akan menggunapakai mana-mana enjin hibrid, sebaliknya enjin 1.6 liter turbo adalah calon yang paling sesuai untuk lebih output kuasa dan emisi CO2 yang kurang.

Ketika ditanya berkenaan perancangan masa yang dirasakan sesuai, Kanei memberitahu Toyota akan mula memperkenalkan versi hot hatch tersebut pada pertengahan kitaran usia Corolla.

Jadi, sebelum kita melihat dengan lebih dekat Corolla GRMN, Toyota bakal membawakan kepada anda terlebih dahulu model Corolla GR Sport (varian asas sporty - seperti R-Line) pada acara Geneva Motor Show bulan hadapan. 
 


Sebagai model asas sporty, Corolla GR Sport tidak lokek dengan pelbagai aksesori menarik seperti lampu utama LED, layangan warna dua tona, tingkap belakang gelap, lampu kabus serta set rim 18 inci menghiasi ruang arca roda. 

Ditawarkan dalam dua variasi enjin; 1.8 dan 2.0 liter hibrid, Corolla GR Sport juga turut datang dengan kemasan kabin berwarna hitam dan merah - warna rasmi Gazoo Racing - selain menawarkan pelbagai jenis balutan kulit pada tempat duduk.
 


Dalam masa yang sama, Toyota turut memperkenalkan Corolla Trek - versi wagon yang ditinggikan jarak kelegaan tanah sebanyak 20 mm yang disasarkan kepada golongan yang memiliki gaya hidup yang serba aktif.

Toyota Corolla Trek hadir dengan rim unik bersaiz 17 inci, tingkap belakang tinted, tempat duduk dua tona, kemasan trim kayu dan sistem infotainmen tujuh inci. 

Penjualan Toyota Corolla Trek akan bermula Ogos ini manakala Corolla GR Sport pula akan hadir di pasaran seawal tahun hadapan.