RAV4 GR SPORT
RAV4 GR SPORT menggunakan teknologi hibrid Toyota generasi keempat dengan komponen yang lebih ringan dan kompak.
Hasilnya boleh dilihat pada peningkatan prestasi dan lebih cekap.
Enjin 2.5 liter Hybrid Dynamic Force dengan pakej hibrid menghasilkan 222 DIN kuasa kuda (hp) manakala pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 8.1 saat.
Penggunaan minyak pula hanya 5.8 liter per 100 kilometer (l/km) (kombinasi kitaran WLTP).
RAV4 Plug-in Hybrid GR SPORT
Varian ini paling berkuasa untuk model RAV4 dengan output keseluruhan 306 DIN hp. Prestasi itu membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam enam saat sahaja.
Sistem yang digunakan menetapkan mod elektrik (EV) secara standard dan kemudian bertukar kepada pengecasan sendiri apabila bateri kehabisan kuasa.
Dengan cas penuh, RAV4 Plug-in Hybrid GR SPORT boleh dipandu sejauh 75 kilometer (kombinasi, WLTP) dan kelajuan mencecah 135 km/j.
Dari segi penampilan, RAV4 GR SPORT dibezakan melalui gril khas dengan corak G dan disalin pada perumah lampu kabus dan bingkai berbentuk bumerang.
Bahagian bawah bampar menggunakan warna kelabu gelap metalik berbanding warna perak pada RAV4 lain.
Pada bahagian belakang, corak G diulang pada bampar dan mempunyai bukaan udara untuk mempertingkatkan prestasi aerodinamik.
Satu lagi identiti khas ialah logo GR sama seperti gril depan.
Rim GR SPORT
Dari sisi jelas kelihatan rim aloi 19 inci dan direka untuk mengurangkan berat dan lebih tegar.
Rim dengan corak lima rongga berkembar itu nampak garang dalam warna hitam kilat dan diriasi garisan kontra pada bingkai rongga.
Warna ala kereta lumba
Pilihan warna dibuat mengikut grafik kereta lumba Toyota GAZOO Racing iaitu putih, merah dan hitam.
Untuk model jalanan ini, Toyota mengolah semula dan menawarkan warna Platinum White Pearl, Flame Red dan Attitude Black.
Pelanggan juga boleh memesan warna Silver dan Grey metallic dan Dark Blue mica.
Kesemua pilihan kecuali Attitude Black boleh dipadan bersama bumbung, spoiler, tiang depan dan belakang dalam warna hitam kilat.
Rekaan dalaman
Bahagian dalam juga istimewa seperti di luar dengan tema hitam, sulaman kelabu perak dan logo GR pada kerusi, stereng dan alas kaki.
Turut dilengkapi Panoramic View Monitor versi baharu yang mempunyai pandangan bawah lantai bagi memeriksa permukaan bumi dan mengesan tayar pada kelajuan rendah.
Bantuan untuk pemandu ditambah dengan kamera undur digital baharu yang memaparkan imej lebih berkualiti berbanding sistem analog sebelum ini.
Suspensi khas
Selain penampilan, kedua-dua varian RAV GR SPORT dilengkapi set suspensi yang berbeza berbanding RAV4 biasa.
Gegelung depan dan belakang lebih tegar dan dipadan bersama suspensi dengan daya redaman yang bersesuaian.
Model hibrid plug-in menggunakan gegelung dengan kadar kenyal 36 N/mm pada bahagian depan berbanding 30 N/mm sebelum ini.
Kekenyalan gegelung belakang pula ditingkatkan dari 49 N/mm kepada 55 N/mm.
RAV4 hibrid GR SPORT menggunakan set depan 30 N/mm dari 28 N/mm dan 40 N/mm kepada 46 N/mm di belakang.
Set suspensi depan MacPherson dan double wishbone di belakang dilengkapi bar anti goleng.
Sistem pacuan semua roda elektrik
RAV4 GR SPORT dilengkapi sistem pacuan semua roda elektrik pintar (AWD-i) yang mempunyai beberapa faedah seperti lebih menjimatkan pada pemanduan di bandar.
Sistem itu juga lebih senyap pada kelajuan tinggi dan prestasi cengkaman lebih baik dalam keadaan licin.
Rekabentuknya pula lebih kompak dan ringan berbanding sistem AWD mekanikal.
Sistem AWD-i menjana daya kilas pacuan dari tenaga yang diperolehi dari sistem hibird dan motor elektrik tambahan pada gandar belakang.
Nisbah daya kilas depan dan belakang pula boleh berubah dari 100:0 sehingga 20:80 mengikut keadaan pemanduan.
Satu lagi sistem pemanduan dikenali sebagai AWD Integrated Management (AIM).
Sistem itu melaras pelbagai fungsi secara automatik seperti bantuan stereng, brek dan kawalan pendikit, corak tukaran gear dan pembahagian daya kilas.
Larasan dibuat berdasarkan tetapan mod pemanduan iaitu NORMAL, ECO atau SPORT.
Turut dilengkapi sistem Trail Mode yang mampu mengelakkan pemandu dari terperangkap melalui sistem kawalan LSD automatik.
Sebagai contoh, roda yang memacu terangkat atau tergantung dari permukaan jalan atau bumi yang tidak rata.
Di dalam keadaan itu, pemandu boleh mengaktifkan Trail Mode dan sistem akan membrek tayar yang tergantung dan berpusing.
Daya kilas akan dihantar kepada roda yang masih lagi berada di permukaan jalan atau bumi.
Kawalan pendikit dan corak tukaran transmisi juga akan disesuaikan bagi membantu pemandu memastikan kenderaan terus bergerak.
Penulis: Muhammad Md Tajudin