Toyota Raize 2020 - enjin 1.0 liter turbo, catat bacaan serendah 5.4 liter/100 km!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah brosur produk tersebar secara tidak sengaja di dalam media sosial, akhirnya Toyota mendedahkan secara rasmi SUV segmen B kembar kepada Daihatsu Rocky, iaitu Toyota Raize.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Dibangunkan atas platform DNGA - pelantar TNGA versi bajet rendah - Toyota Raize memiliki dimensi yang lebih kecil berbanding crossover C-HR, dengan pajang 3,995 mm, lebar 1,695 mm dan tinggi 1,620 mm. 

Menurut Toyota, platform baharu ini menyumbang kepada casis yang lebih ringan, namun dengan badan dan suspensi yang lebih tegap memberikan pengendalian yang lebih baik serta pemanduan yang selesa.

 


Toyota Raize didakwa memiliki ruang kargo yang terbaik di dalam kelasnya, di mana anda boleh meletakkan barangan sebesar 369 liter dan boleh ditambah apabila tempat duduk baris kedua dilipat sepenuhnya. 

Dari segi kuasa, Toyota Raize ditawarkan dalam satu varian enjin sahaja, iaitu enjin tiga silinder 1.0 liter pengecas turbo yang mampu menjana 97 kuasa kuda dan 140 Nm daya kilas. 

Ia dipadankan dengan transmisi D-CVT (Dual mode CVT) yang menampilkan dua mod pacuan yang berbeza iaitu mod talisawat dan mod gear, di mana kedua-duanya digunakan pada kelajuan yang tinggi bagi meningkatkan keberkesanan transmisi. 
 


Dengan penggunaan transmisi D-CVT ini juga turut menandakan kereta Toyota pertama yang menggunakan kotak gear dari anak didiknya Daihatsu. 

Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada angka serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km bagi varian pacuan dua roda, manakala varian pacuan empat roda pula mencatatkan bacaan 5.7 liter per 100 km. 

Untuk varian yang ditawarkan dalam pacuan 4WD, Toyota Raize turut dilengkapkan dengan ciri Dynamic Torque Control 4WD, di mana ia mampu menyalurkan daya kilas dengan lebih berkesan kepada roda belakang terutama ketika fasa pecutan ataupun meredah laluan yang licin. 
 


Aspek keselamatan tidak dilupakan apabila Toyota mendatangkan kelengkapan yang cukup lengkap Smart Assist untuk sebuah SUV segmen B seperti:

  • Fungsi Brek Pengelakan Pelanggaran
  • Fungsi Pencegahan Mula Bermasalah dengan kawalan brek hadapan dan belakang
  • Kawalan Pelayaran Adaptif dengan fungsi Pengesan Semua Kelajuan
  • Bantuan Parkir Panorama

Untuk pasaran Jepun, Toyota Raize didatangkan dalam tiga varian utama, di mana dua varian teratas sahaja menerima sistem infotainmen bersaiz 9 inci, serta ciri sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. 
 


Harga jualan pula bermula dari ¥1,679,000 (RM63,716) untuk varian asas manakala program langganan bulanan pula hanyalah serendah ¥39,820 (RM1,511). 

Bagaimana jika spesifikasi sebegini diletakkan pada produk tempatan - pengganti Perodua Kembara?

Sudah tentu laku keras bukan? 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia berikutan arahan untuk menghentikan jualannya selepas syarikat itu terlibat dengan isu penipuan…
Berita Global
Dimana kali ini ia melibatkan pensijilan UN-R135, iaitu ujian impak tiang sisi pada model Daihatsu…
Berita Global
Diposisikan di bawah model HR-V, Honda WR-V 2023 tidak lagi merupakan sebuah crossover hatchback…