Toyota perlukan 40 tenaga mahir untuk pasang Century SUV, siap ada ujian khas!

oleh Mohamad Hanif|
September lepas, Toyota telah melancarkan model baharu di dalam segmen 'Chauffeur-driven car', iaitu Toyota Century SUV 2024 sebagai pelengkap kepada sedan Toyota Century sedia ada.

Untuk makluman, SUV baharu yang membawakan plet nama Century itu kini sedang dipasang di kilang Tahara, Jepun yang memiliki kekuatan tenaga sehingga 1,500 orang kakitangan.

Nak menghasilkan Century SUV ini bukan semudah pekerja kilang Toyota memasang model kebanyakan seperti Vios dan Yaris Cross.

Untuk memastikan hasil pemasangan Century yang menepati statusnya sebagai sebuah model premium, Toyota memerlukan 40 orang tenaga pakar yang sangat berkemahiran.
 

SUV


Untuk itu, satu ujian khas telah dijalankan oleh Toyota merangkumi tiga modul, iaitu kemahiran asas, ujian bertulis berkenaan sejarah Century dan perkara yang berkaitan, diikuti dengan ujian praktikal yang memperlihatkan kecekapan memasang model-model bertaraf mewah.

Hiroki Tanaka, salah seorang daripada pasukan pemasangan Century SUV memberitahu Toyota Times, "ujian bertulis merupakan perkara yang paling susah berbanding ujian praktikal, terdapat 200 soalan disediakan. Buat pertama kalinya saya perlu membelek kembali buku sejak zaman belajar.

Ujarnya lagi, "saya banyak belajar benda baharu, dari sejarah Toyota dan model Century, sehinggalah kepada teknik pembuatan berkualiti tinggi yang unik untuk model ini. Ia merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai."
 

tanaka


Dengan pengalaman selama 15 tahun di kilang tersebut, Tanaka sebelum ini pernah memasang model seperti Land Cruiser Prado dan Lexus GX.

Menurut Tanaka lagi, proses pemasangan Century adalah jauh lebih teliti jika dibandingkan dengan model-model yang pernah dipasangnya sebelum ini.

Kebiasaannya, Toyota membenarkan kadar toleransi pengetatan bolt dan nat sekitar 20 peratus, namun untuk model Century, angka yang dibenarkan hanyalah sekitar lima peratus sahaja!
 

tanaka


"Untuk pemasangan model biasa, setiap bolt dan nat diketatkan sekali sahaja.

"Namun pada barisan pemasangan Century, kami akan mengetatkan (bolt dan nat) menggunakan tenaga tangan terlebih dahulu, sebelum diketatkan kali kedua menggunakan fastening tool untuk mencapai tork sasaran. Akhir sekali kami akan menggunakan sepana tork digital, di mana nilai tork tersebut akan dimuat naik ke sistem komputer.

"Walaupun kadar toleransi untuk pemasangan Century ditetapkan dalam lima peratus, saya sentiasa menyasarkan 0% dalam kerja harian saya," ujarnya lagi.

Nilai tork yang ditetapkan adalah berbeza mengikut komponen yang dipasang.
 

tanaka


Untuk komponen kecil seperti terminal bateri dan abah-abah pendawaian, nilai tersebut biasanya ditetapkan sekitar 10 Nm, namun untuk bahagian yang lebih besar, nilai tork tersebut mampu mencecah sehingga 300 Nm.

Disebabkan perbezaan nilai tersebut, Tanaka biasanya menghabiskan masa satu minit untuk menyiapkan kerja pemasangan komponen yang lebih besar, di mana untuk kenderaan biasa hanya memakan masa lima saat sahaja.

Ini bermakna, beliau menghabiskan masa 10 kali ganda lebih lama untuk memastikan setiap bolt dan nat yang diketatkan itu memenuhi nilai piawaian yang telah ditetapkan.
 

Century


Proses pemasangan model Century terbahagi kepada empat seksyen, iaitu Trim yang merangkumi panel instrumen dan bumbung, Chassis (pemasangan enjin, suspensi dan bateri PHEV), Final Assembly (tempat duduk, pintu, dan tingkap), dan akhir sekali Tuning/Fluids.

Secara keseluruhan, Toyota berupaya menghasilkan tiga unit sahaja Century setiap hari.

Sumber: Toyota Times