Toyota perlihat bZ4X - crossover elektrik dari platform e-TNGA, versi Subaru bakal menyusul

oleh Mohamad Hanif|
Setelah menerbitkan teaser beberapa hari yang lalu, Toyota akhirnya secara rasmi memperlihatkan model konsep bZ4X yang bakal memasuki fasa produksi dan mula dijual seawal pertengahan tahun 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Secara kasarnya, bZ4X merupakan sebuah crossover bersaiz seakan RAV4 namun dengan rekaan yang tersendiri, seperti contoh bahagian hadapan yang lebih bersudut, lampu utama yang nipis, dan tirai udara yang lebih menonjol.

 

 


Rekaan gril hadapan juga membawakan jenis tertutup (tipikal sebuah EV), namun bahagian bawah bampar menampilkan bukaan liang udara yang agak lebar dan dikemaskan dengan trim metalik.

Keempat-empat arca roda menampilkan 'cladding' plastik yang lebih berkilat, sementara bahagian sisi pula menampilkan garis bahu yang tersendiri, diikuti dengan tiang C yang agak tebal, serta lampu belakang LED yang melintangi bahagian tersebut.

 


Toyota mengambil pendekatan yang lebih tradisional dalam membawakan rekaan ruang kabin, seperti roda stereng tiga jejari, dan panel meter instrumen yang dibubuh dalam struktur seakan mangkuk.

Menurut Toyota, rekaan tersebut adalah disengajakan bukan sahaja untuk menampilkan perasaan ruang yang lebih luas, ia juga dikatakan mampu untuk meningkatkan tahap penglihatan ketika memandu.

 


Di bahagian tengah, terdapat sistem infotainmen skrin lebar dan konsol tengah terapung yang dikemaskan dengan trim hitam berkilat, terdapat butang kawalan yang lebih minimalis dan tidak ketinggalan penukar gear jenis rotari.

Tiada spesifikasi trenkuasa dijelaskan, namun Toyota sebelum ini mengesahkan bahawa crossover elektrik ini dilahirkan atas platform e-TNGA yang dibangunkan bersama Subaru.

 


Subaru juga bakal memperlihatkan crossover tersendiri yang menggandingkan kualiti, ketahanan dan reliabiliti Toyota, serta keupayaan pacuan semua roda yang menjadi makanan utama Subaru.

Toyota bZ4X akan mula diproduksikan di China dan Jepun, sebelum ia mula dijual di pasaran global menjelang pertengahan tahun 2022.

 


Selain daripada bZ4X, Toyota juga akan menawarkan 15 lagi kenderaan elektrik, di mana tujuh daripadanya bakal membawaka nama bZ atau Beyond Zero.

Proses elektrifikasi ini juga akan merangkumi barisan trak pikap Toyota pada masa akan datang, yang menawarkan trenkuasa hibrid serta kenderaan elektrik bateri (BEV).

Berita Berkenaan

Berita Global
  Bahagian depan mengingatkan kepada Prius baharu dan dari tepi tampil dengan garisan tajam dan…
Berita Global
Versi produksi Toyota bZ4X itu diperlihatkan secara rasmi di Jepun yang didatangkan dalam dua…