Sebagai makluman, GR Yaris ada ditawarkan dalam versi CVT untuk pasaran Jepun, akan tetapi ia hanya wujud dalam gred RS sahaja, malah enjin juga bukanlah enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo, sebaliknya enjin 1.5 liter M15A-FKS yang mampu menghasilkan 120 PS dan 145 Nm sahaja.
Menariknya, Toyota menggunakan acara perlumbaan rali Toyota GAZOO Racing Rally Challenge sebagai medan ujian bagi mempercepatkan pembangunan kotak gear tersebut sebelum boleh dijual kepada umum.
Ini kerana, Rally Challenge tersebut menggandingkan beberapa lokasi pemanduan jalan umum, pemanduan lasak di dalam special stages (SS), serta keadaan pelbagai jenis kondisi cuaca (sejuk dan panas) yang membolehkan mereka menilai prestasi sebenar kotak gear baharu ini di dalam GR Yaris.
Dalam ujian ini, Toyota tidak akan menggunakan khidmat pemandu professional, sebaliknya mereka melantik Naib Presiden Shigeru Hayakawa sebagai pemandu uji pembangunan GR Yaris AT ini.
Ini kerana, menurut Toyota, cara pemanduan Hayakawa adalah lebih jujur dan lebih mirip kepada cara kebanyakan pemandu berpotensi GR Yaris yang mahukan penggunaan transmisi auto.
Menurut laporan media tempatan Car Watch, Toyota turut berdepan dengan masalah pada kotak gear AT itu di mana ketika sesi SS kerikil, pemandu uji melakukan nyahpecutan dari gear tiga ke gear dua akan tetapi tidak dapat memecut setajam yang mungkin.
Kotak gear tersebut nampaknya telah dikalibrasi semula dan corak penukaran gear akan dinilai semula selepas pusingan kedua berlangsung.
Selain daripada itu, Toyota juga dikatakan mengubah cara penukaran gear apabila pemandu memasuki mod manual.
Ini kerana dalam model konvensional Toyota, menarik tombol gear ke bawah akan menurunkan posisi gear dan sebaliknya, namun dalam unit pembangunan ini, pemandu boleh menukar gear yang lebih tinggi dengan menarik tombol gear ke bawah, dan menolaknya ke depan untuk menurunkan posisi gear. (Perhatikan perbezaan dua gambar di atas).
Lebih menarik apabila hal ini sebenarnya dicadangkan sendiri oleh Morizo (nama lain bagi Presiden Toyota Akio Toyoda)!
Sama-sama kita nantikan perkembangan terbaharu berkenaan GR Yaris yang dilengkapi dengan kotak gear automatik ini.
Sumber: Car Watch