Toyota Mirai 2021 - sedan RWD yang lebih elegan, mampu capai 630 kilometer!

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada produk hibrid yang popular seperti Toyota Prius, Toyota Mirai merupakan antara percubaan Toyota untuk menyelami trenkuasa alternatif yang mesra alam, iaitu sel bahan api.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Setelah lima tahun berselindung di sebalik kulit ala-ala Prius, Toyota akhirnya memperlihatkan secara rasmi model pengganti Mirai, dinamakan sebagai Mirai Concept 2021. 

Model yang sudah bersedia untuk diproduksikan itu bakal 'menyerang' beberapa pasaran terpilih pada lewat tahun 2020. 
 


Mungkin kerana reka bentuknya yang yang sangat menjurus ke arah Toyota Prius, para jurutera memutuskan untuk menggandingkan elemen Lexus ke atas Mirai Concept 2021 ini, dan hasilnya, sebuah sedan yang sangat-sangat elegan.

Menggunakan platform yang serupa dipakai oleh Lexus GS (ya!), Mirai kini beralih arah kepada sebuah sedan sporty pacuan roda belakang. 

Banyak perkara yang dititikberatkan oleh para jurutera dalam membangunkan Mirai Concept, termasuklah mengelakkan penggunaan rekaan yang tidak diperlukan dan dalam masa yang sama menidakkan bahasa asal Mirai generasi terdahulu.

 


Memasuki ruang dalaman, Toyota menghadirkan skrin paparan digital bersaiz 8 inci di ruang pemandu dan di bahagian tengah terdapat Toyota Premium Multimedia bersaiz 12.3 inci, yang mana ia boleh memaparkan imej masa nyata daripada kamera. 

Walaupun ia kini sedan RWD yang lebih sporty, trenkuasa FCEV yang didatangkan pada Mirai Concept mampu memberikan jarak operasi sejauh 630 km untuk setangki penuh, terima kasih kepada penambahbaikan yang dibuat kepada prestasi sel bahan api dan peningkatan tangki penyimpanan hidrogen.

Malah, Toyota mendakwa masa pengisian bahan api hidrogen juga kini boleh dilakukan dalam masa lima minit sahaja. 
 


Ketika ditanya, Ketua Jurutera Mirai Yoshikazu Tanaka menjelaskan, "kami mahu menghasilkan sebuah kereta yang mempunyai tarikan tersendiri, pemanduan yang dinamik dan responsif, serta memberikan kepuasan kepada pemandu.

"Mirai Concept dihasilkan supaya para pelanggan kami berkata, 'Saya memilih Mirai bukan kerana ia sebuah FCEV, tetapi saya memang mahukan kereta ini!'."

Namun, Toyota Mirai hanya akan dipasarkan di beberapa lokasi terpilih seperti di California, Hawaii, serta beberapa bahagian di Amerika Syarikat. 

Toyota Mirai Concept 2021 akan dipamerkan secara rasmi pada acara Tokyo Motor Show 2019.