Pakej terbaharu ini menawarkan kemasan hitam kusam pada bahagian seperti jeriji hadapan, kemasan lampu utama, rel bumbung, perumah cermin sisi, aksen pada pintu tailgate, serta rim aloi bersaiz 18 inci.

Selain itu, Land Cruiser Prado yang sudah berusia 13 tahun di dalam pasaran ini mendapat ciri seperti lampu utama LED dengan fungsi pelarasan automatik dan cermin sisi boleh lipat berkuasa elektrik.
Untuk ruang kabin, Land Cruiser Prado ini mendapat upholsteri kulit hitam, aksen kayu pada papan pemuka, skrin infotainmen bersaiz sembilan inci dengan fungsi navigasi dan siaran televisyen, serta sistem audio dengan enam pembesar suara.

Ciri keselamatan Toyota Safety Sense turut merangkumi kawalan jelajah adaptif dengan ciri seperti pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang ditawarkan sebagai opsyen.
Di Jepun, pembeli boleh mendapatkan Land Cruiser Prado dengan pilihan enjin diesel turbo 2.8 liter menghasilkan 201 hp dan 500 Nm, atau enjin petrol 2.7 liter berkuasa 161 hp dan 246 Nm, dengan padanan transmisi automatik enam nisbah kelajuan dan pacuan empat roda.

Toyota Land Cruiser Prado Package Matt Black Edition ini boleh didapati bermula dari ¥4,300,000 hingga ¥5,118,000 (RM144,491-RM171,978) bergantung kepada spesifikasi.
Difahamkan, generasi baharu Land Cruiser Prado akan muncul pada tahun depan, dan pelancaran edisi Matt Black ini mungkin sekali merupakan model pengakhiran buat generasi terkini Prado ini.