Toyota Land Cruiser GR Sport dengan prestasi off-road yang ditambahbaik - dari RM298k di Jepun

oleh Mohamad Hanif|
Setelah pelancaran rasmi Land Cruiser 300 Series pada bulan Jun lalu, Toyota akhirnya mendedahkan spesifikasi rasmi varian GR Sport yang bertindak sebagai varian yang paling premium.

Ia bukanlah sebuah varian yang lebih pantas, akan tetapi Toyota mendatangkan beberapa penambahbaikan terhadap prestasi off-road berdasarkan input yang diperoleh daripada pelumba Rali Dakar, serta digandingkan dengan penampilan luaran yang lebih agresif.

Land Cruiser GR Sport memakai kit badan spesifik bagi membezakannya dengan varian Land Cruiser yang lain, seperti bampar hadapan agresif yang direka semula, perkataan TOYOTA pada gril hadapan, cladding plastik yang tidak dicat serta pemasangan plet skid.

 

LC GR Sport


Keempat-empat arka roda dihiasi dengan rim aluminium bersaiz 18 inci berwarna Mud Grey, diikuti dengan kemasan hitam pada beberapa bahagian seperti cladding plastik arka roda, pelindung cermin sisi, serta pemegang pintu.

Di bahagian belakang, Land Cruiser GR Sport mendapat bampar baharu dengan plet skid ala aluminium, mudguard belakang, serta logo GR Sport.

 

LC GR Sport Cabin


Sementara kemasan dalaman pula mengenepikan unsur kemewahan warna beige yang terdapat pada varian LX, sebaliknya ia menggandingkan upholsteri kulit hitam dan merah gelap, serta logo GR Sport pada roda stereng, grafik sistem infotainmen 12.3 inci, kunci pintar dan penghadang kepala.

Toyota juga turut mendatangkan kemasan rekaan sulaman karbon pada konsol tengah, panel pintu dan roda stereng untuk penampilan yang lebih sporti.

 

off-road


Seperti yang disebutkan, tiada sebarang peningkatan kuasa diberikan kepada Land Cruiser GR Sport, sebaliknya ia masih kekal dengan penawaran enjin petrol 3.5 liter V6 turbo berkembar yang menghasilkan 409 hp dan 650 Nm, atau enjin diesel 3.3 liter V6 turbo berkembar yang menghasilkan 304 hp dan 700 Nm.

Sistem transmisi Direct Shift 10 nisbah kelajuan menyalurkan kuasa kepada keempat-empat roda dan menawarkan penjimatan bahan api yang tersendiri.

 

LC GR SPORT


Antara kelengkapan standard Land Cruiser GR Sport termasuklah kekunci diff elektronik depan dan belakang, serta sistem kawalan suspensi yang digelar sebagai Electronic-Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS).

E-KDSS merupakan sistem kawalan elektronik yang akan mengubah tetapan penstabil yang terhubung kepada setiap satu roda di bahagian depan dan belakang secara automatik.

Menurut Toyota, sistem E-KDSS ini membenarkan kestabilan pemanduan ketika melalui jalan urban, dan dalam masa yang sama mengurangkan gegaran yang ketara ketika menempuh laluan off-road yang sukar.

 

LC GR SPORT


Harus diingat bahawa Land Cruiser generasi baharu dibangunkan atas platform ladder frame TNGA-F di mana ia 20 peratus lebih tegar berbanding generasi terdahulu, selain berat 200 kg kurang, titik graviti yang lebih rendah, serta kualiti pemanduan yang dipertingkat terima kasih kepada geometri suspensi yang direka semula.

Untuk pasaran Jepun, Land Cruiser GR Sport merupakan varian yang paling mahal dijual, bermula dari ¥7,700,000 (RM297,867) untuk versi petrol dan ¥8,000,000 (RM309,472) untuk versi diesel.