Di Australia, Toyota Land Cruiser 70 Series masih lagi mendapat tempahan dan pasaran tersebut telah pun menerima kehadiran model 70th Anniversary Special Edition pada bulan Ogos yang lalu.
Kini, penawaran yang serupa dibawakan untuk pasaran Afrika Selatan, dan boleh didapati dalam angka yang tidak diperincikan, terbahagi kepada trak pikap Land Cruiser kabin tunggal dan kabin berkembar.

Selain daripada kehadiran lencana ulang tahun ke-70, Toyota Land Cruiser 70 Series itu mendapat rekaan gril dengan perkataan TOYOTA, bampar off-road dengan bull-bar terintegrasi, skup hud, bampar belakang logam serta penawaran warna Ivory White atau Sand Beige.
Dari segi kuasa, Land Cruiser 70 Series ini mendapat nadi bentangan V8 4.5 liter yang mampu menghasilkan 202 kuasa kuda dan 430 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, sistem pacuan empat roda, serta hadir dengan diff kekunci depan dan belakang, serta gear low-range.
Sebagai sebuah kenderaan off-road, trak pikap Land Cruiser ini mempunyai sudut tuju 33°, sudut pelepasan 27°, dan jarak kelegaan tanah setinggi 235 mm, sementara keupayaan menunda pula adalah sekitar 3,500 kg dan mampu membawa beban sehingga 1,005 kg.

Ruang kabin pula tidak menerima kemaskini yang ketara, melainkan sistem infotainmen 6.1 inci yang hadir dengan sokongan navigasi dan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Harga jualan Land Cruiser 70th Anniversary Edition bermula dari R889,700 (RM233,020) untuk trak pikap kabin tunggal, atau R943,100 (RM247,006) untuk trak pikap kabin berkembar.
Sebagai perbandingan, Land Cruiser 300 Series (generasi baharu) dijual pada harga bermula dari R1,283,200 (RM336,080).