Menurut Toyota, mereka mempunyai dua objektif utama di dalam membangunkan SUV baharu ini, satu daripadanya adalah untuk mewariskan semangat 'kebolehpercayaan, ketahanan dan prestasi off-road' diikuti 'mencipta pengalaman pemanduan yang mampu menawan apa jua jenis jalan'.
Disebabkan itu, Toyota menggunakan platform baharu TNGA-F (Toyota New Global Architecture) disebabkan mereka mahu mengekalkan penggunaan casis ladder-frame (atau body-on-frame) pada Land Cruiser generasi baharu ini.
Ini bermakna, casis yang lebih ringan (jimat 200 kg), lebih dekat dengan bumi (titik graviti rendah) dan pengendalian yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.
Selain daripada itu, sistem gantungan Land Cruiser turut diberikan penumpuan bagi membolehkan lebih banyak artikulasi (pergerakan) roda, dibantu dengan sistem pemantauan pelbagai muka bumi (multi-terrain) dan Electronic Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS) bertujuan untuk menambahbaik prestasi ketika pemanduan off-road.
Dari segi dimensi, ia membawakan sudut mendatang (32 darjah) dan sudut pelepasan (24 darjah) yang sama seperti model terdahulu dengan ukuran panjang 4,990 mm, lebar 1,980 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.
Bagi memastikan Land Cruiser 2022 ini cukup bertenaga untuk menawan laluan off-road, Toyota membekalkan enjin bentangan V6 yang boleh didapati dalam dua versi.
Enjin pertama merupakan nadi 3.5 liter V6 petrol yang menghasilkan 409 kuasa kuda dan 650 Nm, sementara model 3.3 liter V6 diesel pula menghasilkan 304 kuasa kuda dan 700 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.
Menurut Toyota, penggunaan nadi baharu ini mampu mengurangkan kadar pelepasan emisi CO2 sebanyak 10 peratus per tahun jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Rekaan luaran Toyota Land Cruiser 2022 masih lagi mengekalkan imej SUV kotak yang tampak gagah perkasa, serta mendapat ciri moden seperti lampu LED penuh, gril yang besar terpampang, arca roda pula lebih bersegi, diikuti dengan lampu LED pada bahagian belakang.
Sementara ruang dalaman Land Cruiser direka supaya senang untuk digunakan dan mudah pula dicapai ketika pemanduan dilakukan.
Ia dimulakan dengan penggunaan paparan kluster analog (ya, masih lagi analog!) yang dibantu dengan paparan MID digital, kehadiran gugusan butang fungsi yang banyak, serta diikuti dengan skrin infotainmen lebar di bahagian tengah papan pemuka.
Selain daripada itu, beberapa fungsi moden turut dimuatkan seperti sistem pengimbas cap jari, slot pengecasan peranti nirwayar, tempat duduk berventilasi, sistem audio JBL, serta sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto disediakan.
Ciri keselamatan standard Toyota Safety System turut dimuatkan ke dalam Land Cruiser 2022 ini merangkumi komponen seperti kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal laluan, amaran pra-pelanggaran serta lampu suluhan tinggi adaptif.