Toyota lancar Urban Cruiser Hyryder di India - bakal jadi SUV baharu Perodua?

oleh Mohamad Hanif|
Menerusi kerjasama dengan Maruti Suzuki, Toyota akhirnya secara rasmi melancarkan sebuah model SUV baharu yang dinamakan sebagai Urban Cruiser Hyryder.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Biarpun berkongsi nama yang sama dengan model Urban Cruiser, Urban Cruiser Hyryder ini sebenarnya merupakan SUV dengan dimensi yang jauh lebih besar dan duduk di dalam kategori SUV segmen B.

Dari segi ukuran, Hyryder ini membawakan dimensi sepanjang 4,365 mm, lebar 1,795 mm, tinggi 1,635 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,600 mm - dimensi yang hampir kepada model Suzuki S-Cross yang dilancarkan tahun lalu.
 

hyryder


Di bahagian depan, ia menampilkan ciri lampu utama terpisah, dengan unit DRL LED di bahagian atas, diikuti dengan lampu utama di bahagian bampar.

Sementara di bahagian belakang terdapat lampu utama LED berbentuk C kecil yang dihubungkan dengan bar krom, manakala lampu isyarat membelok dan lampu undur pula diposisikan menegak pada bahagian bampar.

Untuk varian tertinggi, terdapat banyak ciri menarik disertakan pada model Hyryder, seperti contoh upholsteri kulit dua tona, sistem pencahayaan ambien, bumbung panorama, paparan head-up, kamera 360 darjah, corong pendingin hawa baris kedua, skrin kluster instrumen tujuh inci serta skrin infotainmen bersaiz sembilan inci.

Ia juga turut didatangkan dengan sokongan sambungan kepada peranti pintar, kawalan suara Google Assistant/Siri, serta slot pengecasan USB di bahagian belakang.
 

hyryder


Dari segi keselamatan, Urban Cruiser Hyryder tidak dilengkapi dengan ciri ADAS, melainkan ciri keselamatan wajib seperti enam beg udara.

Di India, Toyota menawarkan dua jenis trenkuasa, di mana versi asas (101 hp, 135 Nm) hadir dengan unit Neo Drive daripada Suzuki yang menggandingkan enjin 1.5 liter dengan sistem hibrid ringan ISG 12 voltan dan bateri 6Ah, serta padanan transmisi manual lima kelajuan atau automatik enam kelajuan.

Versi hibrid penuh pula menggunakan teknologi Toyota yang tersendiri, di mana ia menampilkan gandingan enjin 1.5 liter, motor elektrik, ISG dan bateri lithium-ion yang lebih besar menghasilkan kuasa keseluruhan 114 hp dan 141 Nm - sama seperti Yaris/Yaris Cross di Eropah.
 

hyryder


Toyota Urban Cruiser Hyryder ini akan dipasang di kilang Bidadi, Karnataka, India dan bakal dieksport ke pasaran lain.

Difahamkan, beberapa rakan media tempatan telah meneka model ini bakal dijadikan sebagai asas kepada sebuah lagi SUV baharu yang bakal dihasilkan oleh Perodua kelak.