Sebanyak 600 unit sahaja yang akan dihasilkan, di mana 320 daripadanya merupakan trak pikap kabin berkembar, 200 unit trak kabin tunggal, dan 80 unit SUV.
Menggunakan asas daripada Land Cruiser trim tertinggi GXL, model 70th Anniversary ini didatangkan dengan gril serba baharu yang dihiasi dengan perkataan TOYOTA, kemasan hitam pada beberapa bahagian seperti bezel lampu utama, dan juga fender flare, diikuti dengan rim bersaiz 16 inci berwarna gelap.
Sebagai sebuah model klasik dalam era moden, Land Cruiser 70th Anniversary ini didatangkan dengan unit lampu utama dan lampu kabus LED.

Sementara ruang kabin model klasik ini didatangkan dengan sistem infotainmen yang jauh lebih moden, dua slot pengecasan USB, upholsteri hitam, roda stereng dan tuil gear balutan kulit, serta trim kayu palsu pada papan pemuka dan bahagian atas stereng.
Di bahagian tengah, terdapat plak khas yang dihiasi dengan logo retro Land Cruiser.
Kesemua unit Land Cruiser 70th Anniversary ini didatangkan dengan enjin diesel turbo 4.5 liter bentangan V8 dengan angka output 203 hp dan 430 Nm, namun pilihan transmisi hanyalah terhad kepada manual lima kelajuan sahaja.
Harga jualan bermula dari AUD$78,500 (RM245,389) untuk model SUV, AUD$80,050 (RM250,234) untuk model pikap kabin tunggal sehinggalah AUD$82,600 (RM258,205) untuk pikap kabin berkembar. Kesemua 600 unit ini akan mula dijual September ini.