Ini bermakna, sudah hampir 30 tahun Toyota Prius bertapak di atas muka bumi sebagai satu alternatif yang mesra alam kepada barisan kenderaan berenjin pembakaran dalaman.
Kebanyakan model hibrid tersebut kini sudah pun mencapai penghujung hayat, ada yang sudah bertemu dengan tempat pelupusan kenderaan. Jika bernasib baik mungkin ada yang masih lagi boleh dipandu atas jalan raya.
Apa akan terjadi dengan komponen bateri terpakai dari Toyota Prius generasi pertama itu?
Usah risau, kerana Toyota mahu mengitar semula bateri-bateri terpakai tersebut untuk digunakan pada model-model hibrid terbaharu, seperti contoh Camry atau Crown Signia.
Menerusi kerjasama dengan syarikat kitar semula Redwood Materials, Toyota akan memperoleh kerajang tembaga katod dan anod daripada aktiviti kitar semula bateri yang dijalankan untuk penghasilan unit bateri baharu.
Ekosistem baharu yang terbentuk antara kedua syarikat itu dijangka akan mengitar semula, mengilang semula dan menggunakan semula kira-kira lima juta unit bateri yang telah mencapai penghujung hayat.
Selain itu, Redwood juga turut membuat pelaburan besar untuk naiktaraf dan mengembangkan fasiliti Nevada sedia ada.
Menjelang akhir tahun ini, Redwood akan memulakan pembinaan Battery Material Campus yang terletak di Charleston, South Carolina.
Kedua-dua fasiliti itu dijangka akan mengitar semula, dan mengeluarkan bahan bateri dengan sasaran 100 GWh setahun.
Bahan yang disumberkan oleh Redwood itu merangkumi sekurang-kurangnya 20 peratus nikel kitar semula, 20 peratus lithium kitar semula, dan 50 peratus kobalt kitar semula.