Secara keseluruhan, Toyota telah berjaya mengedarkan 10,483,024 unit kenderaan kepada pelanggannya di seluruh dunia, atau penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding tahun 2021.
Biarpun angka jualan menurun, Toyota sebenarnya berjaya meningkatkan angka produksi sebanyak 5.3 peratus kepada 10,610,604 unit.
Produksi domestik Toyota menurun 7.7 peratus kepada 2,656,009 unit namun angka produksi kenderaan yang dipasang di luar Jepun meningkat 11.7 peratus kepada 6,370,704 unit.
Walaupun Toyota masih lagi menggungguli carta di peringkat dunia, pengeluar Jepun itu sebenarnya telah berjaya dipintas oleh General Motors di pasaran Amerika Syarikat dengan jumlah jualan 2,274,088 unit kenderaan, mengalahkan jumlah jualan Toyota (2,108,458 unit) untuk tempoh tahun 2022.

Sementara itu, tahun 2022 merupakan tahun yang buruk buat Volkwagen Group untuk tempoh satu dekad, di mana mereka sekadar menjual 8.3 juta unit kenderaan sahaja, dengan penurunan sebanyak tujuh peratus.
Prestasi yang buruk itu banyak disumbangkan oleh masalah kekurangan bekalan akibat serangan Rusia ke atas Ukraine, serta pelaksanaan sekatan pergerakan Covid-19 di China, salah satu pasaran utama VW di dunia.
Masalah kekurangan bekalan komponen masih lagi menjadi isu utama, menyebabkan Toyota terpaksa menutup salah satu kilang di Czech Republic sepanjang bulan Februari.
Disebabkan itu, perancangan produksi global Toyota akan diselaraskan mengikut bulan, namun Toyota masih optimis mereka akan membina sebanyak 10.6 juta kenderaan sepanjang tahun 2023, sama seperti sasaran yang dibuat pada tahun lalu.